Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Pengalaman Dr Dzul diperlukan
Diterbitkan:  Dec 12, 2023 2:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi kepercayaan untuk kembali menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) kerana pengalamannya amat diperlukan untuk pengukuhan kementerian itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"KKM terbeban dengan banyak masalah, sebahagiannya diwarisi, sebahagiannya untuk memenuhi tuntutan rakyat dari segi mutu kesihatan lebih baik. Jadi kita harap dia dapat jalankan tugas dengan baik," katanya dalam sidang media pengumuman barisan Kabinet baru di Putrajaya hari ini.

Dalam rombakan Kabinet itu, Dzulkefly dinamakan sebagai Menteri Kesihatan yang baru, mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan.

Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini memegang portfolio Menteri Kesihatan pada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Mengulas pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan Kedua, Anwar berkata Amir Hamzah telah menunjukkan kecekapan dan keupayaan yang mencukupi, di samping menguruskan KWSP dengan cara yang memuaskan dan mengagumkan.

"...dan rasanya saya telah membina konsensus umum bahawa MOF (Kementerian Kewangan) ini, selain daripada diketuai oleh saya, mesti mempunyai pasukan yang kuat dan profesional untuk memastikan kita berada di landasan yang betul dengan fokus kepada ekonomi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS