Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ng Suee Lim: Saya sudah beritahu DAP sebelum terima gelaran Datuk
Diterbitkan:  Dec 11, 2023 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Wakil rakyat DAP Ng Suee Lim berkata dia telah memaklumkan kepimpinan partinya sebelum menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Ng yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor berkata dia menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan DAP namun tidak menjelaskannya secara lebih lanjut.

"Sebelum ini ada isunya, tetapi mengenangkan sekarang kita sudah masuk abad globalisasi, semua keadaannya, perkembangan kondusif dan jadi (bentuk) kerajaan, banyak benda perlu diteliti.

"Dalam konteks ini, saya sudah maklumkan kepada pucuk pimpinan,” katanya seperti dipetik.

Ng kini bergelar "Datuk" dan merupakan antara 97 penerima darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Sharafuddin.

Dua bulan lalu, dua wakil rakyat DAP di Sabah diberi teguran keras oleh jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu kerana menerima anugerah datuk.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe memohon maaf dan menerima teguran kerana melanggar dasar parti yang melarang menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Dasar DAP adalah hanya ahli parti yang sudah bersara dibenarkan menerima darjah kebesaran, sama ada oleh negeri mahupun persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS