Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rombakan kabinet dijangka esok
Diterbitkan:  Dec 11, 2023 6:01 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Rombakan kabinet dijangka akan dibuat esok.

Satu notis Bernama kepada media menyatakan lantikan baru akan mengangkat sumpah pada kira-kira jam 2.30 petang di Istana Negara.

Satu pengumuman dijangka akan dibuat sebelum acara tersebut.

Terdahulu hari ini, laporan The Star memetik sumber yang menyatakan rombakan membabitkan beberapa kementerian dan lantikan melibatkan muka baru serta ahli parlimen yang lama.

Selain itu, seorang pegawai kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ciapan di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) berkata rombakan tersebut akan dibuat "tak lama lagi", namun tidak menyatakannya secara terperinci.

Sebelum ini Anwar membayangkan rombakan kabinet akan dibuat sebelum akhir tahun ini.

Pada masa ini, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup masih tidak digantikan selepas kematian Allahyarham Salahuddin Ayub pada Julai lalu.

Selain portfolio itu, Anwar turut berdepan desakan daripada beberapa pihak agar menggantikan menteri yang dilihat tidak menunjukkan prestasi yang baik, termasuk daripada partinya iaitu PKR.

Ada juga gesaan agar Anwar - yang turut memegang portfolio kewangan - melantik menteri kewangan kedua agar dia boleh memberi lebih tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS