Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilman kekal sebagai Adun Gombak Setia
Diterbitkan:  Dec 11, 2023 2:05 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Mahkamah Pilihan Raya hari ini, menolak petisyen untuk membatalkan kemenangan Adun Gombak Setia, Hilman Idham dari Perikatan Nasional (PN).

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Abdul Wahab Mohamed, yang bersidang sebagai hakim mahkamah pilihan raya menolak petisyen oleh seorang pengundi DUN Gombak Setia, Shaffie Omar.

Lelaki itu mendakwa menerima RM150 sebagai dorongan kepada pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, pada Ogos lalu

Lelaki 40 tahun itu juga mendakwa jumlah sama turut diberikan kepada pengundi di Lot 2634, Sungai Chinchin Pinggiran 5, Kampung Sungai Chinchin, Kuala Lumpur, pada 9 Ogos.

Dia berkata bahawa kesalahan bawah Seksyen 32(c) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 itu bertujuan mempengaruhi undi supaya menyokong Hilman.

Dalam PRN Selangor yang berlangsung pada 12 Ogos lalu, Hilman menawan kerusi DUN Gombak Setia, dengan hanya kelebihan 58 undi.

Dia meraih 30,299 undi dan mengalahkan calon BN, Megat Zulkarnain Omardin (30,241 undi), dan calon bebas, Salim Ali (1,076 undi).

Selain Gombak Setia, PH juga kalah tipis di DUN Dengkil (407 undi), Sungai Kandis (167), dan Taman Medan (30).

Sementara itu, Hilman dalam satu kenyataan berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikenal pasti mencemar nama baik dan reputasinya berkaitan kemenangannya.

"Saya sudah berbincang dengan pasukan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang susulan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mencemar nama baik dan reputasi saya serta cuba meremehkan demokrasi.

"Individu-individu ini telah dikenalpasti untuk tindakan lanjut dalam masa yang terdekat," katanya.

Mengulas keputusan hari ini, Hilman berkata, dia bersyukur di atas keputusan bersejarah itu yang  memberikan makna dan pengertian yang besar kepadanya dan seluruh pengundi DUN Gombak Setia.

"Sejak awal lagi saya menegaskan bahawa petisyen yang dikemukakan ini, khususnya mengenai isu politik wang dan rasuah politik adalah fitnah dan tohmahan dengan niat jahat bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan mencemar reputasi saya sebagai seorang ahli Dewan Negeri.

"Usaha petisyen ini juga adalah satu cubaan untuk mengkhianati dan memperkotak-katikkan mandat yang telah diberikan oleh pengundi DUN Gombak Setia.

"Justeru, keputusan hari ini telah memberi keabsahan kepada mandat pengundi DUN Gombak Setia yang memilih PN," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS