Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Danial mungkin bentuk kerjasama 'kesatuan pemuda Amanah'
Diterbitkan:  Dec 10, 2023 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Adun Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid, hari ini menyatakan dia masih mempertimbangkan cadangan sama ada menawarkan diri sebagai calon ketua Pemuda Amanah, atau membentuk kerjasama dengan seorang daripada dua pesaing lain.

Danial berkata dia akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda Amanah Selangor itu menjelaskan sebarang tindakan atau keputusan yang bakal diambilnya dibuat berdasarkan apa saja yang terbaik untuk parti.

Katanya dia malah mungkin memilih untuk membentuk "kesatuan pemuda yang lebih utuh" memandangkan semua calon yang bersaing kali ini sudah memegang pelbagai jawatan politik.

“Dalam menanggapi aspirasi dan keperluan Pemuda Amanah, saya berkomitmen untuk membawa perubahan positif dengan pendekatan yang menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat.

"Saya percaya Amanah perlu terus berkembang dengan menyeluruh dan melibatkan setiap lapisan pemuda di negara ini.

"Justeru saya berazam untuk menghadirkan kepemimpinan yang progresif dan inklusif, dengan memastikan bahawa setiap suara dan pandangan pemuda dihargai," katanya.

Hasbie Muda

Pada 26 Okt lalu Malaysiakini melaporkan kesediaan Danial untuk menggalas jawatan lebih besar di peringkat pusat jika mendapat kepercayaan perwakilan sayap itu Dis ini.

Danial berkata dia yakin mampu meletakkan Pemuda Amanah Nasional sebagai sayap yang lebih berkesan dan disegani.

Untuk rekod pemilihan untuk jawatan dalam Amanah berbeza daripada kebanyakan pertubuhan politik lain.

Berbanding dipilih secara langsung, pelantikan dalam Amanah dibuat melalui musyawarah dalam kalangan sekumpulan calon yang mendapat undi tertinggi.

Perlu pasukan stabil

Pemilihan jawatankuasa nasional akan dijalankan dengan setiap perwakilan dari sesebuah kawasan memilih 27 calon dan mereka yang mendapat undi tertinggi bermesyuarat pula untuk melantik ketua dan jawatan lain.

Ketika ini Pemuda Amanah Nasional diketuai Hasbie Muda. Dia sudah mengumumkan rancangannya mempertahankan jawatan tersebut.

Hasbie kini dicabar Exco Pemuda Amanah Nasional merangkap Ketua Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahmah.

Taqiuddin (kiri) bersama Azhar

Semalam Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Cheman, mengumumkan menawar diri sebagai calon timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional dan bergandingan Azhar.

Danial berkata Pemuda Amanah kini sudah melepasi tempoh mencabar apabila tindakan bekas ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, merosakkan imej parti.

“Malah kem yang mendukung Hasnul ketika itu juga memperlihatkan kegagalan menyambung langkah mengemudi Pemuda Amanah selepas itu.

“Sebab itu Pemuda Amanah memerlukan pasukan yang stabil, mempunyai kedudukan yang kuat dalam kerajaan baik sama ada di parlimen, dewan undangan negeri ataupun syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

"Kekuatan ini akan memberikan nilai tambah kepada pergerakan pemuda,” katanya.

Danial terpilih sebagai wakil rakyat selepas menewaskan bekas menteri, Rina Harun dari PN, dan Syaidiyah Izzati Nur Razak (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri Selangor pada 12 Ogos lalu.

Dia mengalahkan calon lain dengan kelebihan 3,382 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS