Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur SIBF serah pada KDN siasat dakwaan kes buku lucah

Penganjur Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) menyerahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat berhubung penerbit yang menjual buku yang didakwa mengandungi kandungan lucah di acara itu.

Kunjungan Malaysiakini ke acara berkenaan hari ini mendapati buku itu masih dijual.

Penganjur yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan berkata kuasa untuk menghalang penjualan buku itu adalah di bawah KDN.

"Saya serah pada KDN, KDN dah ambil sampel buku,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya, dia ada berjumpa dengan pempamer dan mengingatkan mereka untuk menjaga kandungan buku yang dijual.

Namun, katanya, pihak penganjur tidak dapat memeriksa setiap satunya.

"Kami ada buat perjumpaan dengan semua pempamer. Saya dah beritahu, tolong jaga content. Bagaimana mungkin saya nak memeriksa semua?

"Saya mohon pada semua penerbit, penulis dan karyawan untuk mengeluarkan buku atau karya yang boleh membina masyarakat dalam keadaan yang tenang, mempunyai ilmu dan nilai tambah," katanya.

Bagaimanapun pihak penganjur SIBF berkata mereka tetap akan memberi nasihat kepada kepada penerbit buku yang menjadi pertikaian itu.

"Kita harap bila kita jumpa pempamer, kita boleh nasihat. Bukan sahaja di sini, malah di tempat tempat lain. Semua orang perlu pikul tanggungjawab," katanya.

Terdahulu, KDN memulakan siasatan terhadap dakwaan terdapat novel lucah dijual dalam acara yang bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam itu.

Malaysiakini sudah menghubungi penerbit novel-novel berkenaan yang beralamat di Kajang, namun mereka enggan memberi ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS