Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Zayn Rayyan: Polis teliti senarai pesalah seksual

Penyiasat kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Mattin kini meneliti senarai pesalah seksual berdaftar pihak berkuasa.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu sidang media malam tadi bahawa penyiasat telah menemui bukti DNA dan cap jari dalam kes itu, dan polis akan menjalankan saringan DNA secara besar-besaran "termasuk terhadap kumpulan pesalah seksual berdaftar".

Bagaimanapun, dia sejak itu mengunci mulut apabila ditanya mengapa polis meneliti kemungkinan pemangsa seksual dalam kes berkenaan.

"Perkara ini dalam siasatan lagi. Perlu tunggu keputusan dari Jabatan Kimia," katanya dalam mesej teks ketika ditanya sama ada terdapat sebarang petunjuk jenayah seksual dalam kes itu.

"Jangan buat kesimpulan melulu. Biar polis mengesahkan dengan bukti sedia ada," tambahnya.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan

Menurut Hussein, yang pernah mengetuai bahagian bank data DNA polis, polis sudah mempunyai profil DNA pesalah seksual yang disabitkan bersalah dalam pangkalan data mereka.

Difahamkan, profil DNA akan dibandingkan dengan bukti yang dikumpul penyiasat dalam kes itu.

Hussein dilaporkan berkata malam tadi bahawa proses itu akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.

Zayn Rayyan, kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun, ditemui mati di tepi sungai kira-kira 200m dari rumahnya di Damansara Damai, Petaling Jaya, kira-kira 10 malam pada 6 Dis.

Mayatnya ditemui oleh anggota pasukan pencarian yang ditubuhkan untuk mencari kanak-kanak lelaki itu, yang dilaporkan hilang pada petang 5 Dis.

Polis pada mulanya mengesyaki kanak-kanak itu mati lemas, tetapi mengklasifikasikan semula siasatan kepada pembunuhan selepas bedah siasat mendedahkan dia dicekik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain memberitahu sidang akhbar pada Khamis bahawa terdapat juga kesan luka dipercayai akibat mempertahankan diri ditemui pada mangsa, tetapi enggan mengulas lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS