Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, Bersatu pernah umum nak gantikan Umno - Ahmad
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 4:15 PM
Dikemaskini: 11:50 PM

Seorang pemimpin kanan Umno hari ini pantas menyanggah kenyataan Hashim Jasin bahawa parti itu akan terkubur jika mereka menolak untuk kembali bersama PAS.

Sebaliknya kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, kedudukan PAS itulah yang mungkin menyumbang kepada terkuburnya Umno pada masa depan jika mereka bersama.

Merujuk kepada situasi semasa di Kelantan, Kedah dan Terengganu, Ahmad berkata, tiadanya kerusi yang signifikan oleh Umno di negeri ditadbir PAS akan menyukarkan parti terbabit untuk berkembang.

"Katalah kita bekerjasama dengan mereka (PAS) di Terengganu, berapa kerusi yang Umno boleh dapat? Tak ada... sebab kerusi dewan undangan negeri (DUN) mereka miliki dan semua kerusi parlimen mereka miliki.

"Tapi kalau masuk pun tak ada kerusi, pergi bersama dengan PAS Terengganu kerusi pun tak ada, pergi dengan PAS Kelantan kerusi pun tak ada bagaimana Umno ini boleh berkembang?

"Pada pandangan saya Umno mungkin terkubur kalau bersama mereka (PAS).

"Itu di antara punca kerana apabila kita berada dengan mereka maka (ada) masalah untuk mengembangkan Umno. Jadi apabila kita berada dengan mereka mungkin kita terkubur. Bukan begitu?" katanya seperti dipetik Harian Metro di Benut, Pontian hari ini.

Persaingan yang tajam

Pagi tadi Hashim yang juga Mursyidul Am PAS dilaporkan berkata dia menjangkakan Umno boleh berkubur jika kekal dengan kerjasama yang dibentuk dengan PH.

Dakwa Hashim keadaan itu boleh berlaku pada PRU ke-16 disebabkan majoriti ahli dan penyokongnya menolak kerjasama parti itu dengan DAP.

Pun begitu Hashim berkata Umno masih berpeluang diselamatkan jika mereka kembali dengan PAS atau PN atas nama perpaduan ummah.

Untuk rekod PH dan Umno-BN merupakan musuh tradisi namun kedua-dua parti memilih untuk bekerjasama dalam kerajaan perpaduan hasil saranan Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu.

Idea itu disampaikan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ketua-ketua parti menghadap baginda di Istana Negara. Bagaimanapun PN - yang diketuai Muhyiddin Yassin - menolaknya.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata, jika Umno tidak bersama PAS, partinya mempunya peluang merampas kerusi DUN atau parlimen di negeri dikuasai PAS.

Hashim Jasin

"Kemungkinan kita boleh menang dalam tempoh empat tahun itu kerana mereka (PAS) tidak menjalankan tugas sebaiknya, mungkin ada harapan rakyat yang tidak dipenuhi, maka kita boleh mengambil alih DUN dan Parlimen," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor menegaskan PAS pernah menyebut mahu menggantikan Umno dan Bersatu mahu menguburkan Umno.

Pada masa sama, Ahmad berkata PKR tidak pernah menyebut mereka mahu menggantikan Umno.

"Perkataan mengganti Umno itu persaingan yang tajam antara Umno, PAS dan Bersatu," katanya lagi.

Untuk rekod pada Feb 2022 Bersatu pernah mengumumkan tekad parti itu mahu memastikan Umno berkubur di negeri kelahiran parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, cara itu bagi menafikan hasrat BN yang sedang giat membunuh karakter Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS