Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbicaraan kes hasutan pemimpin Bersatu bermula 22 April 2024

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan lima hari bermula 22 April 2024 bagi perbicaraan kes Adun Kijal Senator Datuk Razali Idris yang didakwa menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan.

Razali, 57, yang juga ketua penerangan Bersatu didakwa menyebut perkataan menghasut itu pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PRN bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman di Terengganu bulan lepas.

Dia didakwa menyebut perkataan menghasut itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman antara 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 Nov.

Hakim N Priscilla Hemamalini menetapkan 22 hingga 26 April tahun depan untuk perbicaraan ketika sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Razali memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara selepas pihaknya menerima dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal mengesahkan dokumen berkenaan telah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 24 Nov lepas, Razali yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS