Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umat Islam usah terjebak budaya melabel gelaran munafik
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Umat Islam diingatkan supaya tidak terjebak dan terlibat dengan pembudayaan melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata perbuatan sebegitu berbahaya serta menyalahi hukum syarak.

Mohd Na'im berkata demikian merujuk kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik baru-baru ini yang menggunakan label ‘munafik’ terhadap perkara yang tidak sehaluan.

"Sesungguhnya perbuatan memberi label sedemikian amat mendukacitakan kerana ia boleh mewujudkan kekeliruan dalam kefahaman masyarakat dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan serta permusuhan agama antara sesama umat Islam.

"Dalam hubungan ini, saya ingin mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dan terlibat dengan usaha pembudayaan perbuatan melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik tertentu kerana ia berbahaya serta menyalahi hukum syarak.

"Seluruh umat Islam dinasihatkan agar menghayati nilai ajaran agama yang melarang dan menegah perbuatan menuduh seseorang Muslim yang lain dengan gelaran kafir, fasik atau munafik tanpa bersandarkan kepada bukti dan hujah yang kukuh," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam tulisan Minda Presiden PAS dua hari lalu melabelkan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebagai menggunakan pendekatan golongan munafik kerana menurutnya menyekat peruntukan kepada pihak lawan.

"Maka, konsep yang diguna pakai oleh PH menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.

"Namun, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti minoriti kini memimpin kerajaan boneka pragmatik liberal. Situasi ini sama seperti PLO yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat," tulis Abdul Hadi.

Sementara itu, Mohd Na'im menyeru pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara keutuhan perpaduan meskipun berbezaan pendapat.

"Sehubungan itu, saya ingin menyeru para pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara keutuhan perpaduan ummah.

"Dan hendaklah membudayakan adab berbeza pendapat menerusi pendekatan dialog dan perbincangan secara harmoni bagi meleraikan sebarang perbedaan dalam kaedah dan pendekatan urustadbir kenegaraan semasa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS