Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dia bersedia untuk disiasat jika terdapat sebarang dakwaan salah laku yang membabitkan dirinya.
Ayob berkata dia sedar terdapat pelbagai tomahan dan tuduhan dilemparkan ke atas dirinya berikutan pendirian tegasnya dalam melaksanakan tugas sebagai ‘orang nombor dua’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sila siasat (saya) dan siasat juga semua anggota keluarga saya, saya tiada masalah," katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum integriti sempena sambutan Hari Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tuduhan dan tomahan berkenaan.
Ayob bersama Pencetus Ummah (PU) Amin, atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Amin Lokman Hakim, merupakan panel jemputan forum berkenaan yang dikendalikan oleh Shamsul Azahar Aliddin sebagai moderator.
Katanya, setiap pemimpin perlu ada keberanian untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas petugas di bawah seliaannya dan jangan mengetepikan tanggungjawab sebenar hanya kerana mahu disanjung atau kekal popular.
"Jika ada salah laku melibatkan pegawai atau anggota terutama rasuah, saya tidak akan bertolak ansur dan tindakan pasti akan diambil. Selagi saya diamanahkan dengan tanggungjawab sedia ada, saya akan tunaikan," katanya.
-Bernama