Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Belum dapat surat pecat, tapi dah disingkir dari kumpulan WhatsApp'

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil berkata dia telah menerima perkhabaran berhubung pemecatan keahliannya daripada Umno yang dibuat dalam mesyuarat MKT malam tadi.

Namun katanya, sehingga kini dia masih belum dimaklumkan secara rasmi mengenai pemecatannya termasuk surat rasmi dari Umno.

Bagaimanapun Isham memaklumkan dia telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT Umno.

"Saya belum dapat surat. 

“Yang saya tahu mereka telah keluarkan saya dari Whatsapp group Majlis Tertinggi Umno malam semalam," katanya kepada Malaysiakini.

Setakat ini tiga anggota MKT Umno yang hadir dalam mesyuarat malam tadi memberitahu Malaysiakini bahawa Isham dipecat selepas lantang mengkritik kerjasama Umno dan DAP.

Mereka bagaimanapun enggan nama masing-masing didedahkan.

Seorang anggota MKT berkata terdapat banyak kesalahan dilakukan Isham, antaranya mendesak Presiden Zahid Hamidi berundur dan menggelar pemimpin Umno sebagai “barua DAP”.

Umno setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS