Paling Popular
Terkini

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi membuat ketetapan melucutkan keanggotaan pemimpinnya Isham Jalil, menurut sumber-sumber.

Menurut mereka, keputusan itu dicapai secara konsensus pada mesyuarat yang berlangsung selama dua jam di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Tiga orang ahli MKT yang menghadiri mesyuarat malam tadi ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pemecatan perkara itu.

"Ya Isham Jalil dipecat, keputusan dibuat pada mesyuarat MKT yang berlangsung malam tadi.

"Banyak tindakan yang diambilnya melanggar peraturan parti termasuk tindakannya mengkritik pucuk pimpinan secara terbuka serta melabel parti sebagai 'barua DAP' dalam kenyataan terbarunya," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi ahli MKT yang dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan mengenai status Isham yang dipecat daripada Umno.

"Dia sepatutnya berani menghadirkan diri, pertahankan pendiriannya jika merasakan betul.

"Ini hanya mengkritik secara terbuka di media sosial saja. Langgar peraturan parti memang wajar dipecat," katanya pagi ini.

Malam tadi, selepas mesyuarat  salah seorang ahli MKT turut berkata Isham dipecat atas pelbagai kesalahan berikut.

“Kesalahan dia banyak, dia suruh presiden dipecat dan letakkan jawatan. Dia kata Umno barua dia, dia tak ikut keputusan parti, dia ajak presiden berdebat secara terbuka.

“Dan ini, saya rasa (mesyuarat) yang keempat dia tidak hadirkan diri,” katanya.

Umno setakat ini bagaimanapun setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan pemecatan itu.

Kelmarin, Isham melontarkan kritikan terbaru kepada BN selepas tewas dalam pilihan raya kecil (PRK) Kemaman.

Dakwanya Umno terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi "barua DAP".

Susulan itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencabar Isham, supaya menghadiri mesyuarat parti itu malam tadi selepas tiga kali Isham tidak hadir mesyuarat.

Ahmad Zahid Hamidi

Bagaimanapun, Isham dalam hantaran di Facebook, menolaknya dan melontar cabaran kepada Zahid untuk berdebat.

Malaysiakini juga sejak malam tadi cuba menghubungi Isham bagi mendapatkan maklum balasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS