Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terjerat kes tipu kuota, pekerja asing jelajah negara cari kerja

Dalam kepulan asap tebal dari pembakaran kopi dan gula yang menggelegak, keadaan pekerjaan Mohamad Kazi jauh berbeza berbanding apa yang dijanjikan.

Semasa dia memohon untuk kerja di Malaysia, dia berdaftar untuk berkhidmat sebagai tukang cuci di sebuah hotel di kawasan peranginan bersuhu dingin.

Tetapi, susulan hutang RM17,000 untuk mencari rezeki di luar Bangladesh, Kazi terpaksa bekerja di kilang kopi di Cheng, Melaka, demi mengumpul wang.

“Kami pakai selipar sahaja, tak pakai sarung tangan atau pelindung muka semasa mengendalikan campuran 35kg gula dan 3kg kopi. 

“Kami disuruh menuang campuran menggelegak itu ke dalam bekas besi yang besar, tunggu ia sejuk dan tumbuk hingga jadi serbuk.

“Udara dalam kilang itu ‘pekat’ dan ‘pahit.

“Pada hari kedua bekerja di sana, kami mula jatuh sakit dan sukar bernafas,” katanya. 

Kata Kazi, mereka meminta peralatan perlindungan diri seperti but dah pelindung muka, tetapi majikan terus membayar gaji hari itu dan menyuruh mereka kerja di tempat lain. 

Kazi dan sekumpulan pekerja Bangladesh itu berkata mereka disuruh pergi ke kilang tersebut untuk bekerja oleh seorang ejen dari Bangladesh.

Semasa tiba di kilang itu pada satu hari Jumaat, pihak kilang tidak tahu menahu tentang mereka.

Dan susulan itu, mereka terpaksa menunggu di luar seharian. Selepas itu mereka disuruh pula ke sebuah rumah, yang dikatakan tempat tinggal untuk mereka.

Pada hari Isnin, mereka mula bekerja. Kazi bukan nama sebenarnya.

Dia bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat identitinya tidak didedahkan, kerana risau syarikat yang membawanya ke Malaysia mungkin mengambil tindakan.

Kumpulan pekerja ini merupakan antara ratusan pekerja yang dibawa masuk oleh Star Domain Resources Sdn Bhd, salah satu syarikat yang didedahkan Malaysiakini terlibat dalam penipuan kuota import pekerja asing.

Star Domain menggunakan kontrak palsu dan kelompangan sistem yang lain untuk menipu kerajaan dan mendapatkan kuota untuk membawa masuk 980 pekerja ke Malaysia. 

Bagaimanapun sebenarnya tiada pekerjaan untuk pekerja itu.

Dalam satu sindiket yang didedahkan Malaysiakini, sekumpulan enam syarikat mendapat kuota untuk membawa masuk 1,625 pekerja asing untuk sektor perkhidmatan pada tahun 2022.

Star Domain dan syarikat-syarikat lain tidak memberi maklum balas ketika dihubungi Malaysiakini.

Ramai pekerja yang dibawa masuk melalui kontrak palsu diletakkan di hostel-hostel pekerja di Nilai. Mereka diberitahu boleh meninggalkan hostel itu jika mahu.

Tetapi kebanyakan mereka tidak keluar dan terus menunggu selama berbulan-bulan untuk diberi pekerjaan. Mereka takut untuk keluar tanpa pasport. 

Pasport mereka dipegang oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Jabatan itu telah ‘menyelamatkan’ mereka dari keadaan tempat tinggal yang buruk, beberapa bulan sebelum itu.

JTK berjanji untuk mencari pekerjaan untuk mereka, kata para pekerja.

“Tetapi lepas lima bulan menunggu, kami lelah mendengar segala alasan.

Syarikat yang membawa kami ke Malaysia dan ejen kami kata kami boleh mencari kerja sendiri. 

“Jadi kami pun tinggalkan hostel di Nilai,” kata Kazi.

Kilang kopi: Kami sedia gajikan mereka

Menurut Kazi, dia dan rakan-rakannya disuruh ke kilang kopi di Cheng itu oleh ejennya di Bangladesh, tetapi kata pihak kilang, JTK yang membantu mendapatkan kerja itu.

Wakil kilang, yang tidak mahu dinamakan, berkata syarikat itu bersedia mengambil 16 pekerja dari Star Domain Resources, yang dirujuk kepada mereka oleh JTK.

Tapi akhirnya, hanya empat kekal sebagai pekerja di kilang kopi itu.

“Pekerja asing tersebut cerewet dan ingin bekerja lima bulan sahaja. Tapi kami perlu membayar kos pembaharuan permit dan levi untuk setahun, jadi permintaan ini tak munasabah.

“Kami bersedia untuk memberikan mereka pekerjaan dan gaji, tapi mereka tidak tinggal lama,” katanya.

Dia juga menyangkal tanggapan pekerja-pekerja tersebut tidak diberikan peralatan perlindungan diri.

Katanya, kilang itu membuat produk untuk pasaran eksport dan perlu mengikut peraturan yang ketat.

“Kami memproses bahan makanan jadi kami perlu ikut semua peraturan,” katanya.

Empat pekerja yang menjadi pekerja kilang itu masuk ke Malaysia dengan kontrak tiga tahun dengan Star Domain.

Dengan kilang kopi ini, mereka menandatangani kontrak baru untuk setahun sahaja, kata wakil kilang itu.

‘Kebenaran lompat majikan’

Kilang kopi itu majikan kedua Kazi di Malaysia. Sebelum itu, dengan bantuan rakan-rakan Bangladesh datang lebih awal, Kazi dan lapan lagi pekerja Star Domain mendapat pekerjaan di sebuah kilang sarung tangan di Senawang.

Tetapi ia hanya untuk 22 hari.

Menurut Kazi, kilang itu tidak membayar mereka atau memberikan kontrak rasmi, jadi mereka membuat keputusan untuk mencari kerja lain.

Apabila Malaysiakini menemui Kazi pada 29 Ogos, dia menunjukkan sekeping borang yang mempunyai jata negara Malaysia.

Katanya, borang itu diberikan kepadanya oleh ejennya di Bangladesh.

Kazi tidak faham Bahasa Malaysia.

Dia diberitahu borang “rasmi” itu membenarkannya lompat dari majikan ke majikan, jika tidak puas hati dengan keadaan pekerjaan.

Dia diberitahu majikan baru hanya perlu mengisi borang ini.

“(Kata ejen saya) dengan borang ini, kami bebas mencari pekerjaan di mana-mana di Malaysia,” kata Kazi kepada Malaysiakini, melalui seorang jurubahasa.. 

Pekerja memegang borang yang dipercayainya memberi kebenaran buat pekerja asing mencari pekerjaan dengan bebas

Borang itu bertajuk “Borang Maklumat Majikan Baharu. Permohonan Pertukaran Majikan Penggajian Pekerja-pekerja Asing JTKSM”.

Ia bukanlah pas percuma untuk Kazi melompat dari satu majikan ke majikan lain, dan bukan juga tiket untuk Kazi dan rakan-rakannya bergerak bebas di Malaysia tanpa pasport.

Tetapi Kazi dan lapan orang pekerja Bangladesh menggunakan borang itu untuk bergerak dari kilang ke kilang di Malaysia, membawa segala kepunyaan mereka, demi mencari pekerjaan. 

Keluar mencari kerja

Menarik bagasi besar, serta memikul beg galas dan kipas meja, kumpulan ini seakan-akan pelarian yang sesat di Kuala Lumpur, setibanya mereka di Kedutaan Besar Bangladesh berhampiran Jalan Tun Razak.

Tahun ini, kedutaan ini terpaksa menerima untuk ratusan pekerja Bangladesh yang datang berbas-bas, untuk mendesak pihak kedutaan tentang status pengangguran mereka.

Pekerja menganggap kedutaan bertanggungjawab dalam hal ini, kerana kedutaan mengesahkan kontrak-kontrak palsu yang mengatakan pekerjaan itu kononnya wujud.

Kazi dan pekerja Bangladesh lain di hadapan Kedutaan Besar Bangladesh di Kuala Lumpur

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat lebihan pekerja asing seramai 120,000 dalam sektor perkhidmatan sahaja.

Katanya, ini berpunca dari penyelewengan permit membawa masuk pekerja asing.

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia kedua-duanya menguruskan proses membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.

Sistem ini banyak kelompangan, menurut Jabatan Audit Negara dalam laporannya bulan lalu. 

Saifuddin tidak membuat apa-apa komen terhadap pendedahan Malaysiakini tentang skandal kuota pekerja ini, tetapi Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kementeriannya akan menyiasat dakwaan tersebut. 

Bila ditanya apa punca sebenar lambakan pekerja asing yang menganggur, dia menyalahkan pihak majikan, dan bukan agensi kerajaan yang memberikan kuota, walaupun tiada keperluan untuk pekerja tersebut.

“Kelompangannya ialah mereka dah ada kuota dan mereka membawa masuk pekerja walaupun tiada pekerjaan untuk mereka,” katanya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Abdullah

Tapi isu ini bukan baru atau tersendiri.

Selepas pendedahan Malaysiakini, aktivis hak pekerja di UK Andrew Wallis berkata memang wujudnya ‘“industri” buruh paksa moden yang “signifikan” di Malaysia.

Pengasas NGO hak pekerja migran, Unseen, itu berkata industri ini menjana untung sebanyak AS$500 billion setahun, dan dianggarkan terdapat lebih kurang 200,000 mangsa buruk paksa di Malaysia dari masa ke semasa.

Ancaman menjadi pendatang asing tanpa dokumen

Sebelum tiba di Kedutaan Besar Bangladesh, Kazi dan rakan-rakannya mendapat panggilan telefon dari seorang yang mendakwa wakil Star Domain.

Individu itu membuat ancaman supaya mereka tidak membuat laporan kepada pihak kedutaan.

“Katanya, dia telah menyuruh ejen kami untuk membuat laporan polis mendakwa kami lari, jadi permit kerja kami boleh dibatalkan,” kata Kazi.

Wakil Star Domain itu dikatakan mendakwa JTK sedang memegang pasport mereka demi mencari majikan baru untuk mereka. 

Walaupun mereka datang dengan kontrak tiga tahun bersama Star Domain, permit kerja mereka hanya sah untuk enam bulan lagi.

Pun begitu, mereka tekad untuk membuat laporan ke pihak kedutaan pada lewat Ogos.

Pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia tapi tidak dapat pekerjaan, menunjukkan dompet kosong mereka. 

Dalam satu kajian melibatkan 40 pekerja migran, the International Organisation of Migration, mendapati ramai pekerja yang datang ke Malaysia melalui jalan yang sah tapi menjadi pekerja tanpa dokumen apabila berhadapan persekitaran pekerjaan yang buruk.

Ini termasuk isu seperti tidak mendapat gaji, tempat tinggal yang teruk, tiada perlindungan kesihatan dan keselamatan dan waktu bekerja yang terlalu lama.

Dalam banyak kes, pekerja rasa mereka terpaksa mencari kerja lain yang lebih baik, dan ini menjadikan mereka tidak berdokumen.

Seramai 40 pekerja Nepal, Bangladesh and Indonesia yang terlibat dalam tinjauan itu telah tinggal di Malaysia antara sembilan ke 14 tahun.

Ada antara mereka hilang status sah lebih daripada sekali, selama bekerja di Malaysia. 

30 pekerja Nepal maut di Malaysia setiap bulan

Dalam tempoh enam bulan dia tinggal di Malaysia, Kazi berdepan pelbagai isu penyelewengan, termasuk dipaksa membayar yuran rekrut untuk bekerja di Malaysia, tidak diberi pekerjaan atau gaji selama berbulan lamanya, diancam ditangkap polis dan bekerja dalam keadaan yang buruk.

Ini terjadi walaupun Kazi masuk ke Malaysia dengan status sah.

Pindaan kepada Akta Kerja sepatutnya mengatasi isu-isu berkait buruh paksa seperti ini, tetapi pekerja asing masih tidak dilindungi kerana mereka tidak tahu bahasa, undang-undang atau prosedur tempatan.

Kaunselor Pekerja di Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Bholanath Guragain

Satu cara untuk mengatasi isu ini ialah dengan memastikan pekerja asing mempunyai akses terus kepada agensi penguat kuasa, kata Bholanath Guragain, kaunselor pekerja di Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur.

Ini boleh menyelamatkan nyawa, katanya.

“Setiap bulan kami menghantar 30 jasad pekerja Nepal pulang, ada kalanya lebih 40 sebulan,” kata Bholanath.

Statistik ini tidak berubah sejak empat tahun yang lalu.

“Saya tidak tahu jika sudah ada mekanisme sebegini (memberi pekerja akses terus ke agensi penguat kuasa), tetapi sebab tiadanya tindakan seperti ini, jumlah kematian terus meningkat.”

Katanta, ada pekerja bunuh diri manakala ada yang maut akibat kemalangan di tempat kerja. Tidak mustahil mereka menemui kemalangan tersebut akibat keadaan buruk di tempat kerja.

Katanya, ramai pekerja juga tertekan apabila mereka tidak memahami peraturan, undang-undang dan budaya tempatan. 

Gaji pertama selepas sembilan bulan

Selepas membuat laporan kepada Kedutaan Besar Bangladesh, Kazi dan rakan-rakannya membuat keputusan pulang ke hostel di Nilai dan menunggu.

Mereka risau mereka ditangkap dan dihantar pulang sebagai pekerja asing tidak sah, jika Star Domain membatalkan permit kerja mereka. 

Tidak lama kemudian, seorang wakil Star Domain memulangkan pasport mereka dan sebulan selepas itu, kumpulan Kazi diserahkan kepada dua majikan berbeza.

Sembilan daripada mereka, termasuk Kazi, digajikan di sektor pembersihan, manakala enam lagi dihantar ke sebulan kilang pembikinan di Pelabuhan Klang.

Pada bulan November, sembilan bulan selepas tiba di Malaysia, Kazi akhirnya mendapat gaji bulanan buat pertama kali, iaitu sebanyak RM2,620 termasuk bayaran kerja lebih masa. 

“Saya hantar RM2,350 pulang ke Bangladesh dan simpan RM300 untuk makan dan perbelanjaan lain. Saya gembira dan bersyukur,” katanya. 

Pekerja yang terjerat dalam isu penipuan kuota berkumpul di kantin hostel di Nilai.

Kazi kini bekerja di sebagai tukang cuci di sebuah kafeteria di satu hub pengangkutan yang besar. Inilah pekerjaan yang dimintanya semasa di Bangladesh. 

Namun, di sebalik rasa lega, terdapat juga ketidaktentuan. Kontrak Kazi yang dilihat Malaysiakini, tidak menyatakan tempoh perjanjian dan berapa lama dia akan bekerja di sana.

Dia juga tidak tahu sama ada dia akan mendapat pampasan untuk lapan bulan pengangguran dan terpaksa bergerak dari negeri ke negeri mencari pekerjaan.

Pun begitu, Kazi adalah antara yang bernasib baik.

Bahagian 1: Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing

Bahagian 2: Syarikat cengkerang, VIP ‘perisai’ dalang penipuan kuota pekerja asing 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS