Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membidas Menteri Dalam Negeri Saifuddion Nasution Ismail kerana membela seorang pegawai imigresen, yang memarahi seorang wanita dan anak perempuannya di Johor kerana tidak fasih dalam bahasa Melayu.
Pengarah NGO guaman itu Zaid Malek berkata tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport untuk menunjukkan kecekapan dalam berbahasa Melayu.
"Mengenakan syarat seperti itu adalah menyalahi undang-undang, keterlaluan dan akan menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Zaid turut menuduh menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.
Menurutnya, ibu dan anak perempuan itu dalam kejadian di Johor baru-baru ini merupakan warganegara Malaysia berdasarkan undang-undang dan tidak sepatutnya mengalami gangguan serta cemuhan yang mereka hadapi daripada pegawai itu.
“Menteri dalam negeri mahupun mana-mana pihak penguatkuasa di bawah bidang kuasanya tidak boleh hanya menambah ketetapan di luar apa yang dikehendaki di bawah undang-undang.
“Adalah penting KDN sebagai badan eksekutif memastikan undang-undang dan perlembagaan dipatuhi.
“Untuk itu, perlu ada siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pegawai imigresen atas kelakuan mereka yang menyalahi undang-undang dan keterlaluan.
"Kerajaan juga perlu memastikan semua protokol yang berkuat kuasa di Jabatan Imigresen mematuhi undang-undang,” kata Zaid lagi.
Baru-baru ini, seorang wanita menyiarkan di media sosial mendakwa seorang pegawai imigresen di Johor telah memarahi dirinya dan anak perempuannya kerana tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan sebaliknya menjawab soalan dalam bahasa Inggeris.
Dia telah membangkitkan perkara itu di media sosial.
Walaupun siaran itu tidak lagi tersedia, dilaporkan wanita berkenaan telah menjelaskan penguasaan bahasa Melayu mereka yang lemah kerana mereka menetap di Singapura untuk tempoh masa yang lama.
Apabila Saifuddin diminta mengulas kejadian itu dua hari lepas, dia memberitahu pemberita bahawa menjadi kewajipan warganegara Malaysia untuk mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
Kata menteri itu lagi, pihak berkuasa mempunyai sebab untuk curiga sekiranya seseorang warganegara itu tidak memahami bahasa Melayu.
"Kalau insiden seperti itu berlaku, saya harap ibu bapa berkenaan boleh memahami sebagai kewajipan warganegara adalah mempelajari dan menguasai bahasa dengan baik.
"Tak perlu jadikan isu sampai nak digambarkan sebuah jabatan agensi kerajaan mempersulitkan urusan untuk membaharui dokumen perjalanan hanya kerana syarat pas.
"Jangan tengok kat situ saja. Tengok dari segi kewajipan untuk menguasai bahasa selama tinggal di negara ini, kalau tak, timbulkan keadaan yang syak wasangka adakah betul dia warga sini kerana tak boleh langsung berbahasa misalnya," jelas Saifuddin.
Sementara itu, Senator MCA Ti Lian Ker menggesa kerajaan untuk memeriksa pihak yang digelarnya sebagai "Napolean kecil" yang menyalahgunakan kuasa mereka.
Dia juga menegaskan terdapat ramai warga emas Malaysia yang tidak menguasai bahasa kebangsaan.
“Ramai juga yang dilucutkan pendidikan formal dan tidak berpeluang mempelajari bahasa kebangsaan.
"Kita seharusnya meneliti program atau dasar untuk membantu rakyat yang malang ini dan bukannya menyasarkan mereka atau menghukum mereka. Ini tidak selari dengan semangat ‘kerajaan Madani’,” katanya pada satu kenyataan.