Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memberi taikun perniagaan Vincent Tan perintah injunksi inter parte (secara dua belah pihak) ke atas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sementara menunggu penyelesaian saman fitnah itu.
Perkara itu disahkan kepada Malaysiakini oleh peguam, Mohd Faizi Che Abu, yang mewakili Sanusi dan Chuar Kia Ling bagi pihak Tan dan Berjaya Land.
"Selepas mendengar kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan injunksi interlokutori antara kedua-dua pihak," kata peguam Chuar.
Injunksi interlokutori bertujuan untuk mengekalkan status quo dalam tuntutan mahkamah dengan mengarahkan satu pihak melakukan sesuatu atau berhenti melakukan sesuatu sementara menunggu penyelesaian perkara itu.
Sementara itu, peguam Mohd Faizi berkata tiada tarikh perbicaraan penuh ditetapkan untuk saman fitnah tersebut.
Pengasas Kumpulan Berjaya itu menyaman Sanusi berhubung dakwaan terhadap Tan dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung projek pembersihan Sungai Klang.
Tan dan Berjaya Land sebelum ini dibenarkan oleh mahkamah sama untuk mendapatkan perintah injunksi ex-parte (secara sebelah pihak) pada 17 Ogos lalu, yang turut merujuk kepada perintah sekatan sementara.