Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak perlu difikirkan lagi kerjasama Umno-PAS, kata Puad
Diterbitkan:  Dec 6, 2023 12:16 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi menyarankan semua pihak supaya tidak lagi memberi pandangan berhubung kerjasama Umno dan PAS yang dilihat tidak bermanfaat dan berkekalan.

Katanya, pengalaman lalu telah membuktikan kerjasama itu gagal selepas terbentuk Muafakat Nasional.

Puad Zarkashi

“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama Umno-PAS. Ia tidak ke mana.

“Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Puad berkata peluang kerjasama kedua-dua parti itu sudah terlepas sejak gagalnya Muafakat Nasional.

“Ketika itu isu Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan Statut Rom menyatukan Umno-PAS. Tetapi bila faktor politik masuk ia membantut kerjasama itu.

“Justeru bila kerjasama ini dibangkit semula ia hanya marriage of convenience kerana PRK Kemaman. Lebih baik moving forward,” katanya lagi.

Pada April 2019, Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ketika itu mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Katanya, ini berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara.

Isham Jalil

Sebelum ini, seorang lagi anggota MKT Umno, Isham Jalil membangkitkan isu kerjasama antara kedua-dua parti susulan cadangan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai perdana menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.

Isham membuat cadangan itu berikutan kemenangan besar Ahmad Shamsuri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan menewaskan Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Puad berkata, tumpuan Umno dan kerajaan perpaduan kini adalah menyejahterakan ekonomi negara dan rakyat.

Sebaliknya, dia menasihatkan PN menjadi pembangkang yang konstruktif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS