Kerajaan Pahang memohon supaya jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melalui Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong, dapat ditambah ke daerah lain di Pahang pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata cadangan kerajaan negeri ialah supaya jajaran itu dapat ditambah dari Bentong ke Raub atau Jerantut sebelum ke Lipis, selain laluan di Kuantan boleh ditambah ke Pekan dan Rompin.
“ECRL dijadualkan siap pada 2026 dan beroperasi pada 2027...dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada dua, tiga bulan lepas, saya telah katakan supaya kita (kerajaan negeri) membuat permohonan baru (untuk menambah laluan). Jangan tunggu sehingga ECRL siap dan beroperasi, baru kita nak minta.
“Saya telah minta supaya Setiausaha Kerajaan Pahang (Datuk Seri Zulkifli Yaacob) melalui BPEN (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri), buat permohonan.
"Maknanya kita ambil tindakan awal dan bukan tunggu (ECRL) siap, kerana ia mengambil masa yang panjang,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa mencelah perbahasan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam), yang mengambil bahagian membahaskan Belanjawan Pahang 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di Kuantan hari ini.
Terdahulu, Abd Aziz berkata jajaran baru ECRL dari Bentong ke Lipis dapat menghubungkan laluan keretapi di sebelah Pahang Barat, yang secara tidak langsung juga membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Persidangan bersambung esok.
- Bernama