Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sokongan Melayu dah merosot sebelum Umno, DAP bekerjasama - Puad
Diterbitkan:  Dec 5, 2023 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Umno mengakui sokongan pengundi Melayu kepada parti itu merosot namun ia bukanlah berpunca daripada keputusan untuk bekerjasama dengan DAP melalui PH.

Tambah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, kemerosotan sokongan kepada parti terbabit sudah dapat dilihat sejak berlangsungnya PRU ke-14 pada 2018.

"Benar, sokongan Melayu merosot. Umno tidak apologetik. Sokongan merosot sebelum Umno dan DAP bekerjasama. Merosot dari PRU ke-14 lagi," katanya.

Pada masa sama Mohd Puad menganggap ada pihak tertentu dalam Umno sendiri yang menjadi duri dalam daging.

Katanya ada "tali barut Bersatu" yang menjaja naratif tertentu untuk memburukkan Umno, sekali gus menjejaskan sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan, khususnya semasa pilihan raya kecil di Kemaman minggu lalu.

"Tetapi kerana Kemaman, terdapat tali barut Bersatu tuduh Umno jadi 'barua' DAP.

"Mereka termasuk Tun M (Dr Mahathir Mohamad) dan Muhyiddin (Yassin) yang mendesak Umno keluar dari kerajaan perpaduan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

PRK Kemaman pada 2 Dis lalu menyaksikan PAS mengekalkan mandat di kerusi parlimen berkenaan apabila calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengatas calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dengan majoriti 37,220 undi.

‘Barua Bersatu’ lebih berat

Jumlah itu bermakna Ahmad Samsuri yang juga naib presiden PAS itu meningkatkan jumlah majoriti kemenangan calon PAS di Kemaman sebanyak lebih 10,000 undi berbanding diperoleh calon mereka dalam PRU ke-15 lalu, ini Che Alias Hamid.

Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 25,023 undi.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti berkenaan sewaktu tempoh berkempen.

Kemenangan itu menyaksikan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Muhyiddin menggesa Umno mengkaji semula kedudukan mereka yang bekerjasama dengan PH dalam kerajaan.

Selain pembangkang ada juga tokoh Umno yang bersuara secara terbuka agar parti itu juga mengambil langkah sama. Misalnya bekas ketua penerangan parti itu, Isham Jalil.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun mendakwa Ahmad Samsuri mendapat undi yang besar kerana pengundi putih Umno tidak keluar mengundi.

Katanya hanya 68.3 peratus pengundi putih Umno keluar menunaikan tanggungjawab pada PRK Sabtu lalu.

Ahmad Samsuri (kiri) bersama Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pula mengakui usaha Umno untuk menarik balik sokongan pengundi Melayu masih sukar, namun ia bukanlah mustahil.

Mohd Puad berkata apakah keputusan Umno menyertai kerajaan perpaduan atas dasar tanggungjawab itu boleh dianggap meletakkan parti itu sebagai "barua" kepada DAP.

Pada pandangannya, bekerjasama dengan Bersatu adalah lebih berbahaya dan memudaratkan berbanding membentuk kerajaan dengan PH.

"Umno tidak sertai pun gabungan PH (sebaliknya) menyertai kerajaan perpaduan atas dasar tanggungjawab. Apakah itu barua DAP?

"(Menjadi) Barua Bersatu lagi berat. Bunuh Umno," katanya lagi.

Jelas Mohd Puad, keputusan untuk menyertai kerajaan perpaduan dibuat selepas Umno bertanding secara solo dan hilang banyak kerusi.

Hasil keputusan PRU ke-15 itu, katanya, Umno mempunyai dua pilihan iaitu sama ada untuk membentuk kerajaan bersama PH, atau PN yang akhirnya akan membunuh Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS