PAS menganggap pencapaian mereka di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang adalah yang terbaik pernah dicatat parti itu berbanding tokoh lain sebelumnya.
Justeru kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tidak ada sebab mengapa parti itu perlu menukar pemimpinnya seperti dicadangkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang semalam.
Kata Takiyuddin ketika ini PAS adalah parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat jika dilihat dari segi pencapaian secara persendirian.
Pada masa sama kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, PAS juga menguasai empat negeri selain memiliki wakil di semua dewan undangan negeri di Semenanjung Malaysia.
“Pencapaian PAS bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya,” kata ahli parlimen Kota Bharu itu lagi.
Kedua, tambah Takiyuddin, Lim bukanlah orang paling layak untuk bercakap tentang kesederhanaan (moderation) dan sikap terbuka sama ada kerana sejarah sebagai seorang ahli politik, mahupun kedudukan semasanya sebagai penasihat DAP yang dianggap PAS “masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme”.
"PAS percaya, jika Tan Sri Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya Umno yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam," kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
Tumpu masalah dalaman
Semalam Lim melontarkan persoalan jika Abdul Hadi sedia memberi laluan kepada Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, memimpin PAS.
Saranan itu dibuat Lim dua hari selepas Ahmad Samsuri memenangi kerusi parlimen Kemaman dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada 2 Dis lalu.
Kerusi tersebut kosong selepas mahkamah pilihan raya mengisytiharkan kemenangan calon PAS dalam PRU lalu, Che Alias Hamid, terbatal selepas wujud unsur rasuah dalam kempen mereka pada 2022.
Abdul Hadi merupakan pemimpin PAS paling lama memegang jawatan presiden dalam sejarah parti itu. Dia mula mengetuai PAS sejak kematian Allahyarham Fadzil Noor 22 tahun lalu.
Takiyuddin berkata kemerosotan sokongan terhadap Umno sepatutnya lebih dibimbangkan oleh Lim berbanding isu siapa yang wajar menjadi presiden PAS.
Dia yang juga ahli parlimen Kota Bharu menambah, DAP tidak boleh berlepas tangan atau berdiam diri dengan setiap perkembangan yang berlaku membabitkan parti dalam kerajaan.
"Sebagai ahli politik veteran, tentulah Tan Sri Lim tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, BN-PH kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lepas.
"Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU ke-15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang.
"Justeru lebih bermanfaat sekiranya Tan Sri Lim memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya, bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hyperbole (hiperbola) dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik," katanya.