Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semula kes menghina mahkamah terhadapnya kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes kes rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan pagi ini menangguhkan kepada 14 Feb pendengaran rayuan Lokman untuk membatalkan keputusan mahkamah yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadapnya yang dikaitkan dengan perbicaraan rasuah yang sedang dijalankan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan panel yang dipengerusikan oleh Mohamad Zabidin Mohd Diah bahawa mereka baru sahaja menghantar surat representasi kepada AGC.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan bahawa AGC baru sahaja menerima representasi itu, sambil menambah bahawa mereka memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkenaan.

Pihak pendakwaan berkata bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan peguam Lokman untuk melapangkan tarikh pendengaran rayuan hari ini.

Panel yang juga terdiri daripada hakim Zabariah Mohd Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal, kemudian menangguhkan pendengaran kepada 14 Feb.

Pada 15 Julai 2021, hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati Lokman menghina dan menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atasnya kerana mengugut saksi pendakwaan iaitu bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Amhari adalah saksi pendakwaan yang kelapan dalam perbicaraan rasuah 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa ugutan Lokman dibuat menerusi laporan polis yang dibuat pada 3.24 petang pada 25 Sept 2019, serta kenyataan media yang dikeluarkannya pada 6.33 petang hari yang sama serta dirakam dalam format video.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan komital terhadap Lokman pada 26 Okt tahun lepas.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sabitan menghina mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding rayuan Lokman Noor di Mahkamah Persekutuan di sini yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 26 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor, 50, selepas menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya untuk menambah hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.

Menurut Muhammad Shafee, surat representasi itu dihantar semalam dan sekiranya representasi berkenaan diterima oleh AGC, rayuan anak guamnya tidak perlu diteruskan.

“Oleh yang demikian, saya mohon agar prosiding hari ditangguhkan sementara menunggu keputusan representasi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan pihaknya menerima representasi itu dan akan menelitinya selain tidak membantah penangguhan prosiding rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.

Hakim Mohamad Zabidin yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan penangguhan dan menetapkan 14 Feb tahun depan bagi pendengaran rayuan dan mengetahui status representasi tersebut.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes 1MDB.

Pada 22 Okt 2019, hakim memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor kerana tindakannya yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 Sept 2019.

Menurut Thomas, pada 25 Sept 2019, Lokman Noor dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman Noor membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya matlamat atau tujuan tindakan Lokman Noor ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS