Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes buli MCKK: Polis terima laporan perubatan, cenderung pertuduhan mahkamah

Polis telah menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak selepas mendapat laporan perubatan penuh mangsa.

Ini menurut Ketua polis Perak Yusri Hassan Basri, yang memberitahu Malaysiakini bahawa kertas siasatan itu dihantar ke Jabatan Peguam Negara minggu lepas.

"Mengenai kes MCKK, laporan penuh perubatan telah diperoleh dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri pada 24 Nov.

"Kertas siasatan kemudian diedar kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya pada 30 Nov," kata Yusri dalam mesej teks.

Malaysiakini menghubungi ketua polis Perak itu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes berkenaan.

Difahamkan, berdasarkan penemuan siasatan, polis melihat bahawa kes berkenaan boleh dituduh di mahkamah.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan seorang pelajar Tingkatan 4 MCKK cedera apabila diserang sekumpulan pelajar senior sekolah itu pada September lalu.

Keluarga mangsa telah mendesak pihak sekolah mengambil tindakan buang sekolah terhadap pelajar yang terlibat membuli.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob mengeluarkan kenyataan berkata polis telah merekodkan keterangan mangsa, pelajar yang didakwa membuli dan saksi lain bagi membantu siasatan.

Pada 8 Nov lepas, Yusri mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan penyiasat telah mengemukakan penemuan mereka kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan menetapkan kesalahan berkaitan menyebabkan kecederaan secara sukarela. Ia membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS