Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Tanggungjawab setiap warganegara kuasai bahasa Melayu
Diterbitkan:  Dec 4, 2023 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mempertahankan Jabatan Imigresen berhubung insiden tular melibatkan pegawai jabatan itu di Johor yang didakwa mempersoalkan seorang wanita tidak fasih bahasa Melayu ketika ingin memperbaharui pasport di UTC Johor.

Ini selepas wanita berkenaan baru-baru ini berkongsi di media sosia pengalamannya memperbaharui pasport pada bulan lepas.

Bercakap pada sidang media hari ini, Saifuddin berkata pihak berkuasa mempunyai sebab untuk curiga sekiranya seseorang warganegara itu tidak memahami bahasa kebangsaan.

"Kalau insiden seperti itu berlaku, saya harap ibu bapa berkenaan boleh memahami sebagai kewajipan warganegara adalah mempelajari dan menguasai bahasa dengan baik.

"Tak perlu jadikan isu sampai nak digambarkan sebuah jabatan agensi kerajaan mempersulitkan urusan untuk membaharui dokumen perjalanan hanya kerana syarat pas.

"Jangan tengok kat situ saja. Tengok dari segi kewajipan untuk menguasai bahasa selama tinggal di negara ini, kalau tak, timbulkan keadaan yang syak wasangka adakah betul dia warga sini kerana tak boleh langsung berbahasa misalnya," katanya pada sidang media di Putrajaya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan negara, kata Saifuddin.

Ini, tambahnya, menunjukkan betapa pentingnya bahasa itu kepada negara dan keperluan untuk setiap rakyat memahaminya.

"...kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini, jika bahasa Malaysia adalah bahasa utama, maka kita mesti belajar bahasa Malaysia. Belajar untuk lulus.

"Tetapi adakah kita dilarang mempelajari bahasa lain? Sudah tentu tidak. Tetapi menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mempelajarinya, dan ini kita tidak boleh berkompromi," katanya.

Tambah Saifuddin lagi, mempunyai syak wasangka sedemikian telah membantu pihak berkuasa untuk menggagalkan banyak kes penipuan yang melibatkan dokumen perjalanan.

Dalam beberapa kes, katanya, pegawai telah menangkap ibu bapa yang mendaftarkan anak orang lain sebagai anak mereka.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi di Facebook mengenai pengalamannya berurusan dengan Jabatan Imigresen di Johor.

Hantaran itu tidak lagi boleh dibaca, tetapi menurut Says.com, seorang pegawai imigresen telah mengherdi anak wanita itu kerana menjawab soalan dalam bahasa Inggeris.

Menurut artikel itu, wanita itu dan anak perempuannya kemudian menjelaskan bahawa mereka telah menetap di Singapura sejak kecil dan mendapat pendidikan di republik itu, justeru penguasaan bahasa Malaysia mereka lemah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS