Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada bukti bekas pakar patalogi dalang pembunuhan Morais'

Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa tiada bukti menunjukkan seorang bekas ahli patologi tentera merupakan dalang pembunuhan timbalan pendakwa raya, Anthony Kevin Morais lapan tahun lalu.

Semasa perbicaraan hari ini berhubung rayuan Kolonel Dr R Kunaseegaran terhadap sabitan bersalah dan hukuman mati terhadapnya, peguamnya N Sivananthan menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada lima tertuduh lain pernah bertemu bekas pakar patologi itu.

Sivananthan merujuk kepada lima perayu lain iaitu: R Dinishwaran, 31; AK Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33; S Nimalan, 30, dan S Ravi Chandaran, 52.

Peguam itu menegaskan bahawa Kunaseegaran, 60, hanya didakwa sebagai dalang oleh G Gunasekaran, yang pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, semasa perbicaraan kes pembunuhan itu pada 2016, pendakwa raya menggugurkan pertuduhan terhadap Gunasekaran, 55, dan sebaliknya dia menjadi saksi pendakwaan terhadap Kunaseegaran dan enam yang lain.

Sivananthan memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail bahawa walaupun Kunaseegaran dan Gunasekaran mengenali antara satu sama lain, hubungan mereka telah terputus sebelum 4 Sept 2015.

Peguam itu mempersoalkan bagaimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Kunaseegaran apabila bekas pakar patologi itu dan Gunasekaran tidak berhubung sebelum pembunuhan itu.

“Pihak pendakwaan mendakwa tertuduh pertama (Kunaseegaran) adalah dalang yang mengarahkan tertuduh ke-7 (Gunasekaran).

“Bagaimanapun, ini bertentangan dengan keterangan semasa kes pembelaan (peringkat perbicaraan pembelaan) bahawa terdapat keretakan hubungan dan tiada perbincangan (sebelum pembunuhan).

"Hubungan mereka adalah buruk, dengan tertuduh ke-7 diberitahu untuk menjauhkan diri daripada keluarga tertuduh pertama," kata Sivananthan kepada panel hakim yang turut dianggotai hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Peguam pembelaan menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam membuat keputusan bersalah terhadap Kunaseegaran apabila mempertimbangkan permohonan penyingkiran oleh perayu yang berkaitan kes jenayah berasingan.

Sivananthan merujuk kepada permohonan Kunaseegaran di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menyingkirkan dua timbalan pendakwa raya (DPP) yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan dakwaan meminta dan menerima RM700,000 daripada sebuah syarikat pembekal perubatan.

Peguam itu menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mencari motif terhadap Kunaseegaran, kerana permohon penyingkiran dalam kes rasuah itu tidak menyasarkan Morais.

Sivananthan menegaskan bahawa permohonan penyingkiran itu sebaliknya menyasarkan dua pendakwa raya berbeza dalam kes rasuah itu.

Peguam itu berhujah bahawa Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira bahawa permohonan penyingkiran itu bukan idea Kunaseegaran tetapi oleh pasukan peguam tertuduh dalam kes rasuah itu.

Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah rayuan bersambung pada hari Khamis minggu ini. Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pihak pendakwaan.

Pada 10 Julai 2020, hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki itu atas pembunuhan Morais.

Azman memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mayat Morais ditemui dalam tong berisi konkrit lapan tahun lalu. Seramai 84 saksi termasuk 14 saksi pembelaan memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada 6 April 2016.

Kunaseegaran, Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan, dan Ravi Chandaran, didakwa membunuh Morais di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Sebelum ini, Gunasekaran didakwa bersama enam tertuduh lain.

Bagaimanapun, pada 20 Dis 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan membunuh terhadap Gunasekaran, di mana dia sebaliknya mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan mayat Morais.

Semasa menjalani hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan alternatif, Gunasekaran memberi keterangan bagi pendakwaan terhadap enam tertuduh itu. Dia dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman pada Januari 2017.

Semasa perbicaraan, isu motif pembunuhan Kevin dibangkitkan oleh pihak pendakwaan iaitu ia dikaitkan dengan peranan si mati dalam kes berasingan terhadap Kunaseegaran di mahkamah Shah Alam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS