Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS kini sedia pikul tugas lebih besar, kata Takiyuddin
Diterbitkan:  Dec 3, 2023 11:40 AM
Dikemaskini: 6:39 AM

Kemenangan Ahmad Samsuri Mokhtar di kerusi parlimen Kemaman semalam, menurut PAS, menunjukkan mesej yang lebih daripada sekadar perolehan undi yang semakin besar.

Pada pandangan PAS, kejayaan mengekalkan kerusi tersebut menunjukkan parti itu sudah "bersedia" memainkan peranan yang lebih besar di peringkat kebangsaan.

"PAS bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahu pun perkembangan yang berlaku di dunia luas," kata setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

Semalam Ahmad Samsuri memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kemaman dengan mengetepikan pencabar, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari BN.

Ahmad Samsuri merupakan naib presiden PAS dan menteri besar Terengganu, manakala lawannya itu bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Kedua-dua mereka dijarakkan dengan perbezaan 37,220 undi. Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding Raja Mohamed Affandi yang mendapat 27,778 undi.

Untuk rekod PAS-PN memenangi semua lapan kerusi parlimen di Terengganu pada PRU ke-15 lalu. PRK Kemaman terpaksa diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan pemenangnya, Che Alias Hamid, ekoran perbicaraan mendapati wujud unsur rasuah ketika kempen dijalankan.

Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 Sept lalu.

PAS pernah menjadi kerajaan selama kira-kira 33 bulan melalui kerjasama parti itu dengan Bersatu dan BN pada 2020 dalam peristiwa yang sering dinamakan sebagai Langkah Sheraton.

Ia menyaksikan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri sebelum digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob kemudiannya.

Bagaimanapun peralihan kerajaan itu berlangsung di luar dari pilihan raya.

Takiyuddin berkata PAS tetap komited dengan dasar politik matang, bermaruah dan demokratik.

Katanya ia terpakai bukan sahaja semasa memainkan peranannya sebagai pembangkang, bahkan selaku kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

"Selain faktor kecelaruan pentadbiran (kerajaan pusat), PAS percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga merupakan penolakan pengundi terhadap 'politik dana peruntukan' serta helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli ahli parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokongnya," tambah ahli parlimen Kota Bharu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS