Keputusan untuk membuat sebarang rombakan dalam Kabinet adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenuhnya, yang pasti akan menitikberatkan kemampuan seseorang itu untuk menerajui kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Saya tak tahu pun ada rombakan kabinet (kerana) tiada perbincangan dengan saya. Itu prerogatif perdana menteri dan sudah pasti dia akan menilai adakah kementerian itu bersesuaian dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada seseorang itu,” katanya.
Beliau yang ditemui selepas Program Promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kuching, Sarawak, semalam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet dijangka berlaku sebelum kemunculan 2024.
Menyentuh mengenai TVET, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata pusat khidmat parlimennya akan meluaskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) bagi menggerakkan program mempromosikan bidang itu di peringkat sekolah.
“Tumpuan ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen ini iaitu Tupong, Satok dan Samariang. Saya akan menyokong perancangan dari segi bentuk program yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun hadapan,” katanya.
- Bernama