Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Begitulah kesungguhan ditunjukkan sesetengah mahasiswa apabila mereka mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan bagi menampung kos kehidupan di universiti.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bekerja sambil belajar kini merupakan lumrah terutama bagi pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

Menurut Ahmad Nasharuddin Saidi, dia membuat pekerjaan sambilan sebagai pembantu pejabat di kolej kediaman di universiti bagi meringankan beban keluarga.

“Saya dari keluarga B40. Saya bekerja kerana sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.

"Selain itu saya bekerja untuk meningkatkan kemahiran dan tidak suka membuang masa,” kata anak bongsu daripada enam orang adik beradik itu.

Ahmad berkata dia gembira dengan pekerjaan sambilan sebagai pembantu pejabat di kolej kediaman kerana dapat turut membantu menguruskan hal ewal pelajar lain.

Mahasiswa tahun akhir Universiti Utara Malaysia itu juga pernah melakukan dua hingga ke tiga pekerjaan sehari bagi mencari duit belanja, termasuk bekerja di kedai makan atau kafe.

“Saya bekerja di kafe untuk menanggung makanan seharian. Tiga ke empat hari seminggu bekerja.

“Hari lain saya cuti, sama ada untuk berehat atau saya bekerja di kafe lain. Bila kerja di kedai makan, majikan tanggung makan minum kita,” jelas Nasharuddin.

Situasi yang lebih kurang sama dilalui oleh Nureen Amani Saipulbahri, 23 yang bekerja secara sambilan sebagai penghantar makanan dan pelukis.

Pelajar semester 4 Ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UitM) itu berkata dia membuat keputusan untuk bekerja bagi mengurangkan beban kedua-dua orang tuanya.

“Keluarga saya keluarga B40. Saya fikir untuk kurangkan beban ibu bapa sebab sambung belajar ini memang guna banyak duit untuk hidup,” katanya.

Nureen berkata dia membuat dua pekerja sambilan iaitu sebagai penghantar makanan dan pelukis.

Katanya dia hadir ke kelas pada hari biasa dan bekerja sebagai penghantar makanan pada hujung minggu.

“Sebagai seorang wanita, memang mencabar sebab selalu berada di jalan raya. Saya rasa seronok juga menjadi penghantar makanan ini,” katanya lagi.

Selain memperoleh pendapatan sebagai penghantar makanan, Nureen juga memperoleh sekitar RM90 hingga RM100 bagi sebuah lukisan yang dihasilkan.

Antara karya lukisan yang dihasilkan Nureen

Lain pula kisahnya bagi Muhammad Faiz bin Zamzuri yang bekerja sambilan sebagai pembantu kafeteria untuk merasa hidup berdikari dan mengisi masa lapang.

“Sejujurnya saya bukan datang daripada keluarga yang kurang berada. Tapi pendirian saya sebagai seorang anak lelaki, duit ayah saya ialah duit dia.

"Selagi boleh hidup, saya tidak minta,” kata pelajar dari Selangor itu.

Muhammad Faiz juga memberitahu dia diajar untuk tidak meminta-minta sejak daripada kecil dan akan berusaha

Faiz juga tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara kerja dan juga pelajaran.

“Tiada kerja yang terlampau sibuk. Itu semua alasan sahaja. Terpulang pada diri sendirilah yang bersedia atau tidak untuk mengorbankan masa lapang sendiri," katanya.

Ditanya adakah pekerjaan sambilan ini memberi kesan kepada prestasi akademik, ketiga-tiganya menjawab tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS