ULASAN | Sebagai nadi perdagangan maritim yang penting, Selat Melaka memainkan peranan utama dalam menampung keperluan perdagangan dunia bukan sahaja pada masa kini malah sejak dari zaman kerajaan-kerajaan Melayu lama.
Dari jalur laut yang digunakan untuk mengangkut rempah ratus, kini satu pertiga daripada muatan petroleum sedunia diangkut menerusi Selat Melaka menjadikannya sebagai antara selat yang paling banyak digunakan untuk pelayaran antarabangsa.
Saban tahun, peningkatan aktiviti perkapalan dilaporkan berlaku di Selat ini dan lebih daripada 80,000 kapal melintasi ‘lorong’ laut ini setiap tahun.
Dengan pertambahan bilangan trafik ini secara tidak langsung telah menjadikan Selat Melaka sebagai laluan perkapalan kedua tersibuk di dunia. Ciri-ciri strategik selat ini menjadikan Malaysia sebagai pautan maritim yang mudah yang penting untuk perdagangan komersial dunia.
Namun, baru-baru ini dunia digemparkan dengan cadangan Projek landbridge atau jambatan darat Segenting Kra yang secara teorinya mampu mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik kira-kira empat hari serta mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.
Secara asasnya, projek jambatan darat ini menggantikan projek terdahulu iaitu terusan Segenting Kra yang telah lama dirancang, namun dibatalkan atas beberapa faktor seperti kekangan kewangan, keselamatan dan isu alam sekitar.
Projek jambatan darat Segenting Kra yang menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam ini bakal menjadi laluan alternatif pelayaran yang berlaku di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dengan memintas Selat Melaka.
Ubah industri maritim
Selain penjimatan kos dan masa, kapal-kapal dagang dapat mengurangkan risiko terhadap ancaman rompakan laut dan kegiatan pelanunan yang berleluasa di Selat Melaka.
Projek ini merangkumi pembinaan jajaran jalan raya serta landasan kereta api dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik Selat Melaka menerusi jalan raya dan landasan kereta api.
Projek ini juga dijangka menjadi lambang kepesatan pembangunan negara Thailand melalui pembinaan jajaran jalan raya, landasan kereta api, sistem saluran paip petroleum dan gas, serta kawasan pembangunan khas industri berat dan ringan.
Namun impak sebaliknya bakal menimpa Selat Melaka dimana jika projek jambatan darat berjaya dilaksana, ia bakal merubah industri maritim di rantau ini dan kemasyhuran Selat Melaka bakal hilang kerana tidak lagi menjadi pilihan bagi laluan perkapalan dunia.
Projek jambatan darat ini secara langsung akan memberikan impak negatif kepada ekonomi Malaysia apabila Selat Melaka tidak lagi menjadi laluan utama perkapalan. Hal ini kerana aktiviti perdagangan minyak yang menghubungkan negara-negara Asia Timur dan Asia Barat serta negara barat seperti Eropah, Afrika dan India bakal merubah haluan dan Selat Melaka tidak lagi menjadi pilihan.
Ekonomi Malaysia bakal terkesan
Industri maritim di Malaysia yang merangkumi sektor pelabuhan dan perkapalan, perikanan, perlancongan marin serta minyak dan gas menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Jika dilihat kepada statistic KDNK, ini menunjukkan Malaysia bergantung kepada industri maritim untuk pertumbuhan ekonominya.
Meskipun Malaysia tidak terlalu bergantung kepada industri pelabuhan dan perkapalan, namun kedua-dua sektor ini mempunyai meritnya yang tersendiri Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah antara dua pelabuhan tersibuk di sepanjang Selat Melaka dan telah menyumbang kepada pengembangan ekonomi Malaysia, justeru menjadikan Malaysia sebuah negara maritim yang sedang membangun.
Sungguhpun Malaysia bakal menerima kesan pelaksanaan projek jambatan darat Segenting Kra namun impaknya tidak sebesar Singapura. Pembinaan jambatan darat oleh kerajaan Thai ini bakal memberikan implikasi buruk kepada Singapura kerana ekonomi Singapura bergantung sepenuhnya kepada industri perkapalan.
Oleh itu, fakta ini menunjukkan bahawa usaha pihak Thailand untuk membina jambatan darat ini boleh menjejaskan ekonomi negara serantau kerana jambatan ini akan membentuk laluan maritim baru yang lebih pendek dan dijangkakan lebih memberikan penjimatan kepada syarikat-syarikat perkapalan untuk merentasi Asia Tenggara berbanding laluan Selat Melaka.
Komuniti maritim tempatan bakal terjejas
Pelabuhan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemajuan serta nadi kepada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan matlamat ke arah mencapai status negara maju.
Hasrat Thailand itu bakal merencat operasi pelabuhan-pelabuhan di Malaysia dan seterusnya mengancam masa depan komuniti maritim negara yang menjalankan perkhidmatan marin seperti pembekalan bahan bakar, air mentah dan bahan keperluan serta perkhidmatan kapal tunda di dalam semua pelabuhan di Malaysia.
Hal ini bakal memberi tekanan yang besar kepada syarikat perkapalan tempatan berikutan projek jambatan darat yang dicadangkan ini dijangka akan menyebabkan pengurangan bilangan kapal-kapal yang akan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan sepanjang Selat Melaka.
Memandangkan aktiviti pelabuhan tidak terhad kepada pengendalian kargo sahaja, penyedia perkhidmatan logistik dalam konteks rantaian bekalan juga bakal terjejas jika jambatan darat ini dibina. Kemerosotan berterusan juga bakal berlaku dalam aspek peluang pekerjaan di pelabuhan disebabkan oleh pengurangan penjanaan ekonomi yang berkadar langsung dengan kelangsungan operasi di pelabuhan.
Kestabilan Asean
Projek jambatan darat Segenting Kra yang dicadangkan oleh Thailand ini mendapat perhatian oleh masyarakat global khususnya negara ASEAN. Secara khususnya, China dilaporkan amat berminat dengan projek jambatan darat ini kerana China bakal mendapat manfaat apabila laluan perdagangan dapat dipendekkan, dengan 80 peratus sumber minyak China bergerak melalui laluan perdagangan Selat Melaka pada setiap tahun.
Jika projek jambatan darat ini berjaya direalisasi, terdapat juga kebarangkalian di dalam kerosakan hubungan diplomatik sesama komuniti ASEAN. Adalah tidak mustahil bantahan diplomatik bagi menghentikan Thailand daripada meneruskannya dikemuka oleh negara serantau yang bakal menerima impak negatif dari sudut ekonomi masing-masing.
Kerajaan Thai sewajarnya mengadakan jalinan kerjasama negara-negara ASEAN berhubung dengan penjanaan ekonomi yang bakal terbentuk jika jambatan darat ini dibina agar tiada negara yang ketinggalan. Demi kemakmuran, Thailand perlu lebih peka dengan setiap Langkah yang bakal diambil demi mempertahankan kemakmuran rantau ini daripada tindakan yang boleh memecah belah.
Diharapkan agar Malaysia dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan, khususnya bersedia untuk menyerap impak ekonomi yang bakal melanda jika jambatan darat ini dibina. Perancangan yang holistik dalam memperkasa sektor pelabuhan dan perkapalan adalah penting untuk kelestarian sektor ini.
Justeru, semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama dan komited dalam usaha merancakkan sektor ini demi kestabilan industri maritim negara.
IZYAN MUNIRAH MOHD ZAIDEEN adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.