PRK KEMAMAN | Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar berkelayakan untuk dilantik sebagai perdana menteri masa depan.
Menurutnya, menteri besar Terengganu itu sudah membuktikan kemampuannya dengan mentadbiran negeri dengan baik.
Sedangkan, dakwanya, kerajaan persekutuan yang ada sekarang melakukan jenayah rasuah dengan menyogok ahli parlimen supaya menyokong mereka.
“Sekiranya kita pilih calon mereka bermakna kita izinkan kerajaan melakukan rasuah secara terbuka dengan menggunakan wang kerajaan supaya dapat sokongan.
“Sebab itu dalam PRK ini kita kena tunjukkan bahawa mereka tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat Kemaman.
“Di Kemaman ini kita mempunyai seorang calon yang sebenarnya layak untuk menjadi perdana menteri,” katanya ketika berucap di Ceramah Grand Finale PRK Kemaman di Dataran Astaka, Chukai, malam ini.
Mahathir dipercaya berkata demikian sebagai mengulas tindakan isu lima ahli parlimen Bersatu yang baru-baru ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali gus mengajak pengundi Kemaman memenangkan Samsuri.
Hadir sama dalam majlis itu antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Bersatu Mohd Radzi Jidin.
Sementara itu, Mahathir turut mendakwa banyak masalah dihadapi rakyat kini tidak dapat diselesaikan kerajaan pimpinan Anwar.
“Mereka tidak dapat menurunkan kos sara hidup sehingga ramai orang menderita dan tidak mendapat makanan kerana harga yang naik dan mereka tidak ada pendapatan sama sekali.
“Sekarang ini dicadang subsidi kononnya akan diberi kepada orang tertentu sahaja yang akan dapat. Percayalah hanya yang menyokong mereka saja akan dapat,” katanya.
Samsuri yang juga naib presiden PAS akan berdepan saingan dari calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam menentukan sama ada Parlimen Kemaman kekal menjadi milik PAS atau sebaliknya pada hari pembuangan undi esok.