Kementerian Luar Negeri tampil menjelaskan bahawa isu ketiadaan kerusi buat Muhammad Sanusi Md Nor semasa mesyuarat bersama perdana menteri, Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Alor Setar baru-baru ini adalah kerana menteri besar Kedah itu tidak dijemput.
Majlis itu adalah mesyuarat pre-council bersama Anwar dan lawatan ke Sadao, Thailand.
Sebaliknya, Sanusi hanya dijemput menyertai program lawatan Anwar bersama perdana menteri Thailand ke ICQS Bukit Kayu Hitam pada 27 Disember.
Kementerian itu menjelaskan jemputan itu dibuat melalui surat bertarikh 25 November kepada setiausaha sulit menteri besar Kedah itu.
"Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama YAB Perdana Menteri dan surat bertarikh 25 November 2023 tidak menyebut tentang mesyuarat pre-council ini.
"Apabila YAB Menteri Besar Kedah mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council ini, perdana menteri telah menyediakan kerusi untuk beliau,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Bagaimanapun bagi memenuhi permintaan Sanusi di saat-saat akhir, Anwar telah bersetuju agar menteri besar Kedah itu menyertai delegasi rasmi dalam lawatan ke Sadao, kata kementerian itu.
"Kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian Luar Negeri dan YAB Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada YAB Menteri Besar Kedah,” jelasnya.
Kelmarin, Sanusi mendakwa dia tidak diberikan kerusi ketika mesyuarat di Alor Setar sebelum mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Sadao.
Sanusi membangkitkan perkara dalam sidang DUN Kedah dengan menyuarakan isu 'Little Napoleon' yang menurutnya cuba mengeruhkan hubungannya dengan Anwar.
Menurutnya, walaupun perbincangan itu berkaitan dengan tanah yang berada di bawah kuasa negeri, dia tidak diberi tempat untuk turut serta sehinggalah Anwar meminta dia diberikan kerusi.
“Saya berdiri sebab tak ada kerusi, tapi saya ucap terima kasih kepada perdana menteri yang nampak saya berdiri lama dan dia minta saya diberikan kerusi.
“Saya bukan rasa terhina tapi nak maklumkan bahaya permainan ‘Little Napoleon’ yang mencatur hubungan pemimpin supaya berlaku pertembungan, pergaduhan dan tak puas hati,” katanya.