PRK KEMAMAN | Hiasan bendera PAS memenuhi ruang di Pasar Besar Chukai, memberi daya tarikan tersendiri khususnya sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berakhir tengah malam ini.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, tiang-tiang utama bangunan pasar itu dibaluti bendera PAS selain bendera bersaiz besar dipasang bagi menutup ruangan terbuka tempat tumpuan awam itu.
Malah di bahagian dalam pula, bendera PAS dipasang dengan meriah di bahagian bumbung menunjukkan suasana pasar diselubungi dengan bendera parti itu.
Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa PAS menguasai pengaruh dan sokongan di situ dengan begitu ketara.
Cubaan Malaysiakini menemubual beberapa peniaga berhubung suasana kempen yang meriah di pasar itu bagaimanapun ditolak mereka atas alasan tidak mahu menunjukkan sikap berpolitik.
Bagaimanapun Malaysiakini mendapat sedikit sebanyak pencerahan melalui Persatuan Pasar Kemaman Sentral yang berperanan menjaga kebajikan dan kepentingan peniaga-peniaga di pasar terbabit.
Pengerusinya Muhamad Luqman Hakim Mohd berkata, hiasan bendera PAS yang menonjol di pasar itu bukanlah atas inisiatif para peniaga.
Sebaliknya jelasnya, pemasangan bendera atau poster calon PAS itu dibuat oleh jentera-jentera parti itu sendiri.
Menurutnya ketika kempen dalam PRU ke-15 tahun lalu, hiasan bendera kempen di pasar itu dipasang dengan bendera pelbagai parti tidak semata-mata bendera PAS sahaja.
“Sebenarnya wujud salah faham sebab hanya bendera PAS saja dipasang kali ini, sebenarnya peniaga tidak masuk campur dalam hal ini, tetapi atas inisiatif jentera parti itu sendiri.
“Tetapi kali ini kita tengok jentera BN tak pasang bendera parti mereka di sini, jadi boleh kata 100 peratus hanya bendera PAS. Ia tidaklah menggambarkan sokongan peniaga di sini secara langsung,” katanya ketika ditemui, semalam.
Untuk rekod calon BN PRK Kemaman diwakili Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dia berdepan saingan calon PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, merangkap menteri besar Terengganu.
Sementara itu Luqman Hakim, 36, yang juga peniaga barangan runcit berkata, tidak dapat dinafikan berlakunya peralihan sokongan politik di kalangan peniaga bermula ketika BN berkuasa di Parlimen Kemaman kepada situasi semasa menyaksikan Terengganu ditawan PAS sepenuhnya.
“Sekarang saya anggar 90 peratus sokong PAS, kita tak nafi ada sekitar 10 peratus lagi penyokong BN di kalangan peniaga.
“Tetapi dengan keadaan itu kami kekal akrab, macam adik-beradik. Misalnya kedai itu milik penyokong PAS, tapi orang Umno tahu dan tak ada masalah kami di sini saling berurusan.
“Calon BN pun ada datang berkempen kat sini, kita tiada masalah. Kita layan sama saja, bersalaman, berbual-bual dan bergambar. Begitu juga dengan calon PAS. Kita memang akrab di sini, soal politik itu pilihan masing-masing, dan dalam urusan cari rezeki di sini kami pupuk sikap kebersamaan,” katanya.
Tambahnya apa yang penting melalui persatuan dan wakil rakyat, peniaga mahu kebajikan mereka terbela dan setiap permasalahan yang wujud dapat diselesaikan dengan tuntas.
“Kami peniaga tak boleh tunjuk sifat kepartian, persatuan pula kita main peranan jaga kebajikan peniaga-peniaga di sini, siapa yang berkuasa di situlah tempat kita menadah tangan memohon bantuan.
“Kita tak buat musuh dan memihak. Persatuan tidak memberi pengaruh kepada ahli-ahli supaya sokong parti tertentu.
“Di kalangan peniaga memang ada perbezaan sokongan parti, tapi tidaklah sehingga menyebabkan permusuhan, sebaliknya saling hormat-menghormati sekali gus keharmonian antara peniaga terjaga,” kata Luqman Hakim.
Dalam perkembangan itu dia turut melontar pendapat mengenai wakil rakyat yang menjadi pilihan pengundi-pengundi di Kemaman.
Menurutnya, rakyat setempat kini lebih mementingkan seorang tokoh yang senang didekati dan tidak mewujudkan jurang yang besar khususnya ketika mereka mahu berurusan.
“Saya melihat perubahan sokongan daripada BN kepada PAS atas dua faktor. Pertama rakyat mahukan wakil rakyat yang kurang protokol, senang didekati dan mengambil berat dalam menyelesaikan masalah.
“Keduanya, kita lihat perubahan sokongan disebabkan parti itu sendiri. Rata-rata mereka yang beralih sokongan menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan kepimpinan utama parti,” katanya yang turut memuji perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memastikan urus tadbir negara yang telus dan berintergriti serta mengelak ketirisan.