Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan Bangladesh ucap terima kasih, gesa polis siasat 'perancang asing'

Seorang wartawan dari Bangladesh yang terselamat daripada kes culik baru-baru ini meminta rakan wartawan tetap tabah dalam menjalankan tugas mereka.

Wartawan berusia 30-an itu yang enggan mendedahkan identiti diri atas faktor keselamatan, percaya motif penculikan itu adalah berkaitan dengan tugasnya.

Asa (bukan nama sebenar) berterima kasih kepada Ketua polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid yang mengesahkan seorang daripada tiga pegawai polis Cawangan Khas yang didakwa terlibat dalam penculikan itu telah ditahan kerja.

"Kerajaan Malaysia bagaimana mereka bantu saya, polis tangkap semua orang. Ini saya sangat gembira, terima kasih," kata wartawan berkenaan untuk rangkaian berita yang berpangkalan di Dhaka.

Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata dua lagi suspek, yang juga pegawai cawangan khas dari Putrajaya, mungkin berdepan tindakan sama, bergantung kepada hasil siasatan.

Asa turut menegaskan sekali lagi kemungkinan ada "tangan ghaib" yang terlibat dalam kes penculikannya.

"Orang asing gunakan rakyat Malaysia untuk lakukan jenayah. Mungkin polis atau orang tempatan lain. Polis mesti buat langkah susulan.

“Orang asing gunakan mereka (polis) dan mereka (polis) terima hukuman, tetapi warga asing masih bebas,” katanya.

"Siapa perancang penculikan ini? Mereka hanya gunakan polis Malaysia, rakyat Malaysia. Saya percaya itu," katanya.

Asa juga berkata dia percaya cubaan penculikan itu ada kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan, khususnya dalam melaporkan isu pekerja asing Bangladesh.

“Saya ada melaporkan perkara jenayah kewangan, pemerdagangan manusia dan isu pengubahan wang haram.

"Saya masih bekerja di sini, tetapi hari ini saya takut," katanya.

Pada masa sama, Asa turut menasihati wartawan supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila berkongsi maklumat dengan sumber mereka dan mengelak daripada terjebak dalam situasi berbahaya.

Sebelum ini dilaporkan tiga lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai polis datang ke rumah Asa di Putrajaya pada 7 Nov lalu.

Individu berkenaan memberitahu Asa dia perlu membantu pihak polis dalam kes yang turut membabitkan dirinya.

Asa kemudian dilaporkan diculik dan ditempatkan di sebuah rumah di Klang, Selangor, selama tiga hari.

Semasa dia ditahan, dia dikatakan dipukul, dirotan, ditendang di perut dan dikelar pada bahagian tangan oleh lelaki berkenaan yang meminta wang tebusan sebanyak RM1.9 juta.

Menurut News Straits Times, Asa dibebaskan selepas tiga hari dalam tahanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS