Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bahayakan pekerja' - bekas MP bidas jawapan menteri isu buruh paksa
Diterbitkan:  Dec 1, 2023 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago membidas kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang disifatkan sebagai memandang remeh berhubung isu buruh paksa.

Pemimpin DAP itu berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar yang mengakui masalah itu tetapi memperkecil tahapnya adalah "tidak bertanggungjawab" dan "bahaya" terhadap pekerja yang terperangkap di dalamnya.

"Respons Sivakumar adalah 'red flag'. Amalan buruh paksa wujud, dan pengakuannya mendedahkan satu sistem rosak yang mengancam hak dan keselamatan pekerja yang rentan.

"Sikap Kementerian Sumber Manusia yang kurang kesegeraan (berhubung masalah itu) adalah mengejutkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Charles mengulas kenyataan Sivakumar yang mengakui kewujudan masalah buruh paksa di Malaysia namun menyifatkan sebagai "terkawal".

"Saya tak kata tiada (masalah) buruh paksa, tetapi saya fikir angkanya tidak begitu besar.

"Kami sedia untuk ambil tindakan tegas jika ada majikan yang mengamalkan buruh paksa," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Kenyataan itu susulan dakwaan yang dibuat aktivis berpangkalan di United Kingdom Andrew Wallis bahawa perhambaan moden wujud sebagai "industri haram yang signifikan" di Malaysia.

Dia juga menganggarkan seramai 212,000 orang mangsa buruh paksa yang ada di Malaysia pada satu-satu masa.

Charles berkata lagi, Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama dengan NGO untuk melakukan kajian bersama berkenaan masalah itu.

"Kementerian perlu komited untuk menyenarai hitam majikan yang tidak patuh kepada piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

"Menyiarkan nama majikan yang disenarai hitam di laman sesawang mereka juga akan mewujudkan budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban di kalangan majikan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS