ULASAN | Anak muda itu bernama Muhammad Asdar - biasa dipanggil Asdar. Penampilannya kacak dan “ganteng”, kata gadis Jakarta.
Ia lahir pada 25 November 1997 di sebuah ladang sawit di Kinabatangan, Lahad Datu, Sabah, Malaysia. Ayahnya Muhammad Nur, ibunya Hartati - kedua-duanya berasal dari Makasar.
Ketika berusia setahun, Asdar sudah ditinggal ayah kandungnya yang entah pergi ke mana. Sejak itu, Asdar tinggal bersama ibunya yang berstatus sebagai pekerja di ladang tersebut.
Baru-baru ini, saya sempat berbincang santai dengan penggemar futsal itu. Ia bercerita bahawa pada Julai 2023, dirinya baru sahaja menyelesaikan pengajian ijazah (Strata 2) dalam bidang Teknologi Pendidikan di Universitas Pelita Harapan (UPH), Jakarta.
Pada 2021, gelar diplomanya (Strata 1) juga sudah diraihnya dari Universitas Padjadjaran, Bandung, bidang Hubungan Antarabangsa. Kedua-dua program tersebut diselesaikannya menerusi bantuan biasiswa dari Pemerintah Republik Indonesia.
Di tengah kesibukannya belajar, Asdar juga sangat aktif dalam beberapa aktiviti positif. Antaranya di Ruang Prestasi Yayasan Pandu Pertiwi (Januari 2021-sekarang), pernah praktikal di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur (2020) dan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau (2019).
Paling menarik mungkin adalah ini: pernah menjadi kakitangan di Gugus Tugas Percepatan Proyek Strategis Nasional, Pejabat Staf Kepresidenan RI di Jakarta (Julai-Ogos 2023).
Siapa Asdar? Pandai sekali anak muda ini. Jangan terkejut: dia ternyata alumni Community Learning Center (CLC) peringkat Sekolah Dasar (Sekolah Rendah/SD) dan Sekolah Menengah Pertama (SMP/Tingkatan 1-3) Ladang Permodalan 1 (2006-2014), yang terletak di ladang tempat dia lahir.
Kemudian, dengan mendapatkan biasiswa afirmasi pendidikan menengah (Adem) dari Pemerintah Indonesia, dia melanjutkan pendidikan jenjang Sekolah Menengah Atas (SMA/Tingkatan 4-6) di SMA Permata Insani Islamic School (2014-2017), Banten.
CLC merupakan tempat belajar sederhana bagi anak-anak Pekerja Migran Indonesia (PMI) kelahiran Sabah, untuk peringkat SD dan SMP. Ia dibentuk khas untuk membantu pelayanan pendidikan bagi anak-anak PMI yang tinggal bersama orang tuanya yang bekerja di ladang-ladang sawit di seluruh Sabah. Ini adalah program lanjutan daripada hasil kerjasama dan kesepakatan yang baik antara Pemerintah Indonesia dan Malaysia dalam bidang pendidikan, yang dirasmikan pada 25 November 2011 - kemudian disepakati sebagai tarikh lahirnya CLC di Sabah.
Pendidikan asas
Sebelumnya, pada 1 Disember 2008, kerajaan Malaysia sudah lebih dahulu memberi kebenaran pengoperasian Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) untuk matlamat yang sama. Di Sarawak pula, CLC juga sudah dibenarkan beroperasi mulai Januari 2016 untuk peringkat SD.
Jadi sampai hari ini, menurut data di SIKK sebagai sekolah induk, terdapat 238 CLC di Sabah dan 58 CLC di Sarawak, dengan jumlah keseluruhan muridnya 15,244 pelajar peringkat SD dan 5118 pelajar peringkat SMP.
Asdar sememangnya alumni CLC yang berjaya. Tapi dia bukan satu-satunya. Sudah ada kira-kira 3,000 alumni CLC lain dari Sabah yang juga berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat SMA, SMK, Diploma dan S1 di banyak lembaga pendidikan di seluruh Indonesia.
Semua mereka capai selepas melalui proses panjang penuh perjuangan yang tak ringan, di bawah bimbingan dan sokongan guru-guru andalan, apalagi tinggal di ladang-ladang yang sarat dengan kepayahan.
“Inilah sememangnya matlamat utama Pemerintah Republik Indonesia membina SIKK dan CLC di Negeri di Bawah Bayu ini, selepas dibenarkan oleh Pemerintah Malaysia. Iaitu memberikan layanan pendidikan asas untuk anak-anak PMI (usia 6-15 tahun) dan seterusnya memberikan biasiswa dan kemudahan untuk mereka melanjutkannya pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Indonesia,” kata Rafail Walangitan, Konsul Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu dalam sebuah ucapannya.
Kurikulum, sistem pendidikan dan peraturan penyelenggaraan pembelajaran di SIKK dan CLC sama persis seperti yang diselenggarakan di Indonesia. Guru-guru profesional daripada Indonesia dihantar oleh Pemerintah untuk membantu guru-guru yang ada. Tidak ketinggalan juga penghantaran dana bantuan operasional tahunan yang jumlahnya tidak sedikit untuk kelancaran proses pembelajaran dan pengajaran di tempat-tempat pelayanan pendidikan tersebut.
Apa yang sudah dilakukan Pemerintah Indonesia melalui SIKK dan CLC itu membuat Zulkifli amat merasa kagum. Mengikut Guru Sejarah di salah satu Sekolah Kebangsaan Malaysia di Kundasang itu, anak-anak PMI di Sabah amatlah beruntung dengan perhatian yang sangat besar dari kerajaan.
“Tanpa pelayanan pendidikan semacam itu, boleh dibayangkan bagaimana keadaan mereka. Boleh jadi mereka amat berisiko menimbulkan gejala sosial yang pasti akan merugikan semua pihak,” katanya.
Pengiktirafan serupa juga kerap saya dengar sendiri daripada banyak pihak di Sabah, dari pegawai kerajaan, pemandu teksi, polis, ahli akademik, aktivis kemanusiaan dan lain-lain. Secara ringkasnya, sebahagian besar amat menyambut baik dengan kewujudan lembaga-lembaga pendidikan yang sudah sedia ada setakat ini.
Masih banyak boleh diperbaiki
Ada pula saranan positif tentang cadangan penambahbaikan pengurusan CLC, khasnya pengurusan izin operasinya di Sabah supaya keberadaan dan statusnya menjadi lebih terlegitimasi.
Sudah 12 tahun CLC berada di Sabah - memang masih berusia kanak-kanak SD. Kerananya, masih banyak pekerjaan rumah yang harus dipelajari, dibaiki dan dipertingkatkan supaya dia tetap wujud dan makin maju. Sepertimana makin maju dan berjayanya Asdar dan rakan-rakannya di Indonesia.
Kalau dahulu mereka lahir dan belajar penuh parjuangan di ladang-ladang, siapa sangka kini mereka akan - atau sudah - lulus dari di kampus-kampus atau menara-menara gading ternama di Indonesia.
Bersamaan dengan itu, kita agaknya juga tidak boleh lupa bahawa masih banyak adik Asdar lain yang belum mendapat kesempatan yang sama, atau malah sama sekali belum tersentuh akses pendidikannya. Kerana itu, pelbagai upaya masih harus terus dilakukan untuk menelusuri, mencari dan mengasah potensi dan bakat dari --meminjam istilah Pak Dadang Hermawan, mantan Kepala Sekolah SIKK-- “mutiara-mutiara” yang masih terpendam di belantara perkebunan sawit Malaysia yang sangat luas.
Mengakhiri tulisan ini, saya salinkan sebuah pesan dari Asdar untuk kita semua: “Saya dan semua alumni CLC dan SIKK sangat beryukur kepada Allah atas segala capaian yang sudah kami raih sejauh ini. Kami juga mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada Pemerintah RI, Perwakilan RI di Malaysia, para guru, Pengurus Ladang Sawit, Pemerintah Malaysia dan semua pihak yang sudah berkenan mengizinkan kami untuk belajar di CLC walau dalam keadaan apa adanya. Tanpa itu semua, bukan mustahil kalau kami masih berada dan bertapok di ladang mengikuti jejak para orang tua kami menombak dan mengutip biji sawit….”
Selamat hari jadi ke-26 untuk Asdar, selamat ulang tahun ke-12 untuk CLC di Sabah. Semoga terus wujud dan makin berjaya dalam membantu pelayanan pendidikan bagi anak-anak PMI di Sabah. Seraya dengan itu, dari ruang tunggu Bandara Internasional Kota Kinabalu, di hadapan ratusan alumni Pelajar SMP CLC se-Sabah yang terbang melanjutkan pelajaran peringkat SMA/SMK di Indonesia menerusi Gerakan Maju Cinta Tanah Air (Gema Cita), terdengar Pak Aksar berteriak lantang: “Kembalilah ke Indonesia kita….”
NASRULLAH ALI FAUZI merupakan penulis bebas dan Koordinator Penghubung CLC Wilayah Kota Kinabalu, Sabah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.