PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 menerusi undian suara.
RUU berkenaan yang dibentangkan pada bacaan kali kedua sebelum ini dibahaskan selama dua hari.
Seramai 27 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyaksikan RUU itu menggugurkan klausa generasi penamat rokok (GEG), sekali gus menjadikannya topik paling banyak disentuh dan dibangkitkan.
RUU itu terlebih dulu diluluskan di peringkat dasar selepas undian suara dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Ia kemudiannya diteruskan untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang menyaksikan RUU itu diluluskan melalui undian suara dilakukan oleh Timbalan Speaker Alice Lau.
Ia versi ketiga dibentangkan di Dewan Rakyat selepas beberapa pindaan sebelum ini.
Ini, termasuk menggugurkan klausa melarang orang yang lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok, dengan terma orang belum dewasa (OBD).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa semasa menggulung RUU itu berkata, dia memahami pandangan dan kegusaran semua pihak berkenaan pengguguran klausa yang disebut generasi penamat rokok (GEG).
Zaliha berkata selepas RUU ini diluluskan kerajaan sedia melihat keberkesanannya dan sedia menimbang untuk memasukkan GEG jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
"Pengguguran (GEG) ini adalah keputusan secara kolektif, tanggungjawab bersama kerajaan, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Ada isu ketidaksamarataan atau diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang beri layanan berbeza seorang lahir sebelum 1 Januari 2007, dan lahir selepas itu.
“Oleh itu AGC berpandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah, bercanggah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, peruntukan berkenaan GEG dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, boleh dicabar di mahkamah.
Susulan itu, Dr Zaliha menarik semula RUU tersebut pada 28 Nov lalu sebelum versi baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Sebelum menamatkan ucapannya, Dr Zaliha merakamkan penghargaan kepada bekas menteri kesihatan sebelum ini yang berusaha menangani masalah merokok di negara ini.
"Sebelum saya mengakhiri penggulungan saya ini, saya ingin merakamkan terima kasih saya kepada semua menteri-menteti kesihatan terdahulu.
"Kalau saya boleh namakan S Subramaniam, Dzulkefly Ahmad, Adham Baba dan juga tuan Khairy Jamaluddin atas usaha-usaha dicurahkan sebelum ini dalam usaha menangani masalah merokok di Malaysia amnya, khususnya dalam membangunkan RUU yang telah kita luluskan sebentar tadi," katanya.