Saya puji penerima Anugerah Pendidikan Diraja di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nahvin Muthusamy, kerana berani bersuara mengenai pemulihan meritokrasi dalam sistem pendidikan.
Masanya sudah tiba untuk menamatkan salah guna dan penyelewengan dalam sistem pendidikan.
Kita tidak mahu universiti-universiti menganugerahkan ijazah doktor falsafah kepada seseorang yang buta media dan tidak dapat membezakan antara perkara yang betul dengan perkara yang salah, antara penipuan dan berita palsu, antara kebenaran dan fakta.
Dan mereka ini masuk ke parlimen dan membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.
Saya katakan di parlimen 52 tahun yang lepas bahawa DAP tidak menentang Dasar Ekonomi Baharu (DEB) untuk memastikan golongan miskin dalam kalangan orang Melayu berpeluang untuk menjadi doktor, peguam, dan jurutera kerana adanya orang miskin dalam kalangan bukan Melayu.
Sebaliknya, kita menentang tindakan afirmatif sebegini untuk mengayakan lagi golongan Melayu yang sudah kaya.
DEB diniatkan untuk dilaksana selama 20 tahun dan sepatutnya tamat pada tahun 1990, tetapi dasar diteruskan selama lebih dari 50 tahun.
Sebagai permulaan, kita patut akhiri salah guna dan penyelewengan dalam DEB.
Malaysia telah keluar dari era ketidaktentuan politik yang memberikan negara kita empat orang perdana menteri dalam tempoh lima tahun.
Dengan pentadbiran terjamin sehingga pilihan raya umum ke-16 – sama ada pada tahun 2026 atau 2027 – Anwar Ibrahim patut menumpukan usaha kepada perubahan dan reformasi dasar dan institusi yang dijanjikan.
Tidak ada tempat yang lebih baik untuk bermula selain daripada menyahut ucapan Nahvin yang berani dengan menghapuskan salah guna dan penyelewengan DEB dalam bidang pendidikan.
LIM KIT SIANG ialah veteran DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.