Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tahun ini tahun yang bermakna buat dua beradik apabila mereka sama-sama bergraduasi di universiti yang sama.

Malah, lebih manis apabila pak cik mereka turut berkongsi pengalaman itu Ahad lepas.

Saudara bertuah itu ialah Fathul Hakim Zawawi, 24, dan adiknya Haibatul Huda, 23,  serta bapa saudara mereka Abdul Rahim Ismail, 30.

Fathul Hakim dan Haibatul Huda sama-sama menamatkan sarjana pendidikan Bahasa Arab dan Abdul Rahim pula ialah pelajar diploma pascasiswazah pendidikan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

“Pertamanya, syukur Alhamdulillah kita dapat graduasi bersama-sama. 

“Walaupun ia sesuatu yang tak dijangka, tapi alhamdulillah kami diberi kesempatan untuk graduasi pada tahun ini,” katanya yang berasal dari Terengganu itu.

Sementara itu Abdul Rahim, yang juga seorang guru di Kuantan, Pahang, pula menyifatkan kenangan manis hari itu sebagai pemberian Allah.

“Dan mudah-mudahan ia menjadi satu motivasi untuk kami semua untuk melangkah ke arah yang lebih tinggi lagi,” katanya semasa ditemu bual oleh pihak universiti.

embedded code:

Fathul Hakim menggambarkan pengalaman mereka amat manis, lebih-lebih lagi apabila adiknya menjadi rakan sekelas.

Dua beradik itu juga sering bertukar pandangan dengan bapa saudara mereka ketika masa lapang.

“Kelas kami kadang-kadang sampai malam dan kami gunakan masa selepas kelas untuk makan malam sambil bertukar pandangan bersama adik dan bapa saudara di kafe dalam dan luar universiti,” kongsinya kepada Malaysiakini.

 “Topik sembang bukan hanya berkisar pada hal pengajian sahaja, kadang-kadang kami bincang tentang keluarga juga. 

“Hilanglah tekanan sedikit,” sambungnya.

Ibu bapa mereka adalah profesor madya di dua buah universiti awam di Malaysia dan pengalaman itu menyuntik semangat Fathul untuk menjejaki laluan akademik kedua orang tuanya.

 “Kami menyaksikan semangat dan pengorbanan ibu dan ayah yang bersengkang mata di waktu malam dan perbincangan di meja makan,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan pengalaman pertama Fathul Hakim dan Haibatul Huda.

Sebelum ini, mereka berdua sama-sama menamatkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan pada 2022 

“Alhamdulillah kami sekali lagi konvo bersama pada tahun ini dan bertambah ceria dengan adanya bapa saudara pada kali ini,” kata Fathul Hakim,

Bagaimanapun ini kata terakhir mereka akan bergraduasi bersama-sama.

Masing-masing akan memilih laluan berbeza selepas ini, dedah Fathul Hakim.

Hanya Fathul Hakim akan meneruskan pengajian di UM manakala adiknya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor dan pak ciknya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS