Paling Popular
Terkini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan terus menyimpan pasport bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Mahkamah jenayah pagi ini menolak tawaran ahli Parlimen Pagoh itu untuk mendapatkan semula  pasportnya secara kekal bagi tujuan percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.

Namun, kata Hakim Azura Alwi pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih mempunyai hak untuk memfailkan pemulangan sementara pasportnya bagi tujuan tersebut,  tertakluk kepada kelulusan mahkamah.

Susulan penghujahan lisan ringkas oleh peguam Muhyiddin, K Kumaraendran dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, Azura kemudian membenarkan pelepasan sementara pasport tertuduh mulai hari ini hingga 15 Jan tahun depan.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Azura berkata Muhyiddin perlu mengemukakan alasan yang lebih konkrit untuk meminda syarat jaminan RM2 juta yang dikenakan, daripada hanya memetik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Azura berkata ini lebih-lebih lagi apabila alasan yang disebut oleh Muhyiddin bagi mendapatkan semula pasportnya secara kekal adalah untuk percutian keluarga dan tujuan perubatan, yang tertuduh boleh lakukan dengan memohon pemulangan sementara dokumen perjalanan tersebut.

Hakim juga menegaskan bahawa Muhyiddin masih mempunyai tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan usaha tertuduh untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu masih belum didengar olehnya.

Azura kemudiannya membenarkan permohonan  Kumaraendran untuk mendapatkan pasport Muhyiddin secara sementara memandangkan tiada bantahan daripada Akram.

Kumaraendran seterusnya memaklumkan mahkamah bahawa Muhyiddin akan memperbaharui pasportnya hari ini, dengan penerbangan yang dirancang dari Malaysia ke Dubai pada 15 Dis, Dubai ke London pada 21 Dis, London ke Dubai pada 10 Jan tahun depan dan kemudian Dubai ke Malaysia pada 11 Jan. Pasport itu akan dikembalikan ke mahkamah pada 15 Jan.

Mahkamah Sesyen juga menetapkan 15 Feb tahun depan untuk mendengar permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

Tarikh yang sama ditetapkan untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan prosiding pengubahan wang haram, sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk membuka semula empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 28 dan 29 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.

Pada Mac lalu, Muhyiddin memohon di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Pagoh itu kemudian memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, yang menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pelepasan dan pembebasan (DAA) atas pertuduhan tersebut pada 15 Ogos.

Kemudian pada 4 Okt, dia memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada baki tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS