WAWANCARA | Isu kekurangan bekalan makanan termasuk untuk haiwan ternakan mungkin boleh diselesaikan melalui kaedah reverse investment (pelaburan berbalik), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Katanya, kaedah tersebut sudahpun berjaya diamalkan oleh Singapura yang menjadi negara peneraju dalam keterjaminan makanan walaupun republik itu memiliki sumber yang terhad.
Menurut Mohamad, penghasilan bahan makanan seperti untuk binatang ternakan sebenarnya menelan kos pengeluaran yang agak tinggi.
"Sekarang kita tumpu (penghasilan) jagung bijirin iaitu makanan utama kepada binatang ternakan tapi bila kita buat di sini (dalam negara), setakat ini, kosnya agak tinggi.
"Singapura, negara itu nombor satu dalam keterjaminan makanan, (sedangkan) ia bukan ada (sumber) apa pun tapi dia buat (penghasilan makanan) di luar," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini semalam.
Untuk konteks negara ini, kata Mohamad, sampai masanya untuk langkah itu diteliti dan diambil jika didapati sesuai dan lebih menjimatkan.
Pun begitu presiden Amanah itu berkata ia bergantung kepada kemampuan dan kelulusan pihak lain seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau agensi lain yang memiliki dana kukuh.
Ia juga, tambah Mohamad, bergantung kepada persetujuan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Dengan langkah sebegitu, katanya, negara mempunyai rizab makanan yang selamat dan terjamin jika berlaku sesuatu keadaan darurat atau luar jangka.
"Ini kita panggil reverse investment, " katanya lagi.
Menjelaskan cadangan itu, Mohamad berkata, sebelum ini pernah dicuba tanaman jagung di Perlis untuk menampung keperluan haiwan ternakan domestik.
Bagaimanapun, katanya, kos pengeluaran agak tinggi dan ia mendorong kerajaan melihat kemungkinan untuk menghasilkan produk itu di luar negara jika ia lebih ekonomik.
Cari cara terbaik
Mohamad memberitahu setakat ini idea tersebut masih dalam perancangan dan belum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dasar dan pelaksanaan.
"Masa depan nanti, kita kena ke arah itu," katanya.
Sementara itu menjawab mengenai bilakah negara akan mencapai kadar 100 peratus keterjaminan makanan, Mohamad merujuk kepada hakikat bahawa ia akan sentiasa wujud "sehingga kiamat".
Katanya ia pernah dinyatakan dalam al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf AS yang berdepan dengan tujuh tahun kemarau, selain juga diceritakan pada zaman Umar al-Khattab apabila khalifah itu menangguhkan hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri ketika berlaku krisis makanan dan kemiskinan.
Semasa dunia berperang juga, katanya, penduduk negara ini terpaksa bergelut dengan kelaparan sehingga ada yang menjadikan ubi kayu sebagai pengganti besar.
"Jadi, kita tak boleh (nak) jamin bahawa krisis makanan tak akan berlaku lagi... tak boleh berbahasa (berkata) begitu.
"Cuma, kita (boleh) cari jalan yang terbaik," katanya.
Menurutnya, isu kekurangan bekalan beras terjadi disebabkan beberapa faktor termasuk kesan harga beras import melambung menyebabkan ada sesetengah pengguna memilih beras tempatan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan berlaku peningkatan permintaan yang mendadak dan ia menjejaskan bekalan di pasaran.
"Pada pandangan orang ramai, beras import ini lebih cantik dan bermutu, tapi apabila harga beras import melambung, maka pembeli mula mencari beras yang lebih murah.
"Kebetulan beras murah itu ialah beras tempatan yang kerajaan (beri) subsidi begitu banyak," katanya.
Ketika ini, kata Mohamad, kementeriannya sedang memberi tumpuan untuk mencukupkan bekalan beras pada masa akan datang.
Antara usaha lain yang dibuat ialah membawa kaedah penghasilan padi di Sekinchan, Selangor untuk diperkenalkan di Kedah dan Terengganu, dan juga perbincangan bersama Sabah dan Sarawak untuk dijadikan negeri jelapang padi.
"Pihak swasta juga mula menunjukkan minat untuk membuka ladang-ladang padi.
"Kerajaan berharap beberapa tahun lagi kita akan dapat mencapai (tujuan) mencukupkan bekalan beras," katanya.