Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy memohon kebenaran mahkamah untuk membuat tuntutan balas hampir RM57 juta ke atas syarikat tersebut.
1MDB juga ada kes saman terhadap Arul Kanda berhubung dakwaan pecah amanah dan konspirasi yang menyebabkan syarikat kerugian berjumlah AS$1.83 bilion (RM8.05 bilion).
Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November lalu oleh firma Sanjay Mohan yang mewakili Arul Kanda, untuk kebenaran meminda pernyataan pembelaannya dalam saman 1MDB.
Dia ingin memasukkan tuntutan balas terhadap 1MDB dalam pernyataan tersebut, dengan syarikat itu didakwa melanggar perjanjian untuk melanjutkan kontrak jawatannya pada 2018.
Menurut salinan permohonan itu, Arul Kanda menuntut ganti rugi khas berjumlah RM54 juta, bonus perlu dibayar menurut perjanjian pelanjutan pekerjaan berjumlah RM2.5 juta serta RM202,600 untuk kehilangan pendapatan menurut perjanjian itu.
Arul Kanda mendakwa pada 23 Februari 2018, dia dan lembaga pengarah 1MDB memeterai perjanjian pelanjutan pekerjaan - yang didakwa diluluskan oleh pemegang saham 1MDB iaitu Minister of Finance Incorporated (MOF Inc) - agar kontraknya dilanjutkan sehingga 30 Jun tahun itu.
Dia mendakwa perjanjian itu termasuk klausa untuknya dibayar bonus ex gratia berjumlah RM5 juta, yang mana RM2.5 juta belum dijelaskan.
Dia juga mendakwa pembayaran bonus ex gratia adalah "hasil daripada pelbagai pencapaiannya semasa bekerja dengan plaintif yang mengakibatkan pengurangan hutang plaintif sebanyak lebih kurang RM20 bilion".
Arul Kanda mendakwa susulan penubuhan kerajaan PH selepas PRU 2018, Lim Guan Eng yang menjadi menteri kewangan didakwa membuat pelbagai tuduhan terhadapnya.
Dakwanya lagi, pada 25 Jun 2018, 1MDB tanpa sebarang asas menamatkan perjanjian pelanjutan pekerjaan secara salah.
"Defendan pertama (Arul Kanda) menyatakan bahawa plaintif (1MDB) tidak memberikan peluang dan notis yang mencukupi untuk menangani kebimbangan seperti dikatakan oleh bekas menteri kewangan dan/atau plaintif sebelum penamatan perjanjian pelanjutan pekerjaan.
"Plaintif membuat laporan polis yang mengakibatkan defendan pertama didakwa dalam apa yang disifatkan sebagai kes jenayah pinda laporan audit 1MDB," dakwanya lagi.
Dia berkata pada 3 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan dan melepaskannya daripada kes jenayah itu.
Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan itu.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan bekas ketua perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk pampasan terhadap kerugian yang ditanggung.
Kerugian itu berkaitan pelaburan dalam usaha sama bersama Petrosaudi Limited, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB mendakwa mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion), yang didakwa dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
1MDB diwakili peguam Lim Chee Wee manakala Irwan Serigar diwakili peguam Lavinia Kumaraendran.