Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita maut, suami dan bayi cedera parah kemalangan di Machang
Diterbitkan:  Nov 28, 2023 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Seorang wanita meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya berdekatan simpang Masjid Nurul Abidin Pangkal Canggong di Machang pada 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud berkata ketika kejadian, mangsa berusia 21 tahun bersama suami, 20, dan bayi lelakinya berusia lapan bulan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Mengketil menghala ke Machang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan, lalu terbabas ke sebelah jalan arah bertentangan dan melanggar pagar simen di tepi jalan.

"Mangsa tercampak di bahagian penumpang belakang, manakala suami dan anak tersepit di bahagian tengah di antara pemandu dengan penumpang sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

"Wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suami dan anaknya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS