Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar lawat Sadao, Thailand
Diterbitkan:  Nov 27, 2023 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, di Sadao bagi lawatan kerja sehari membincangkan perkara-perkara berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand.

Perdana Menteri disambut rakan sejawatannya Srettha Thavisin.

Anwar diiringi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha, serta mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao, Thailand yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan kedua-dua negara.

Anwar dan Srettha juga dijadualkan untuk melawat ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, Malaysia.

Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan Anwar itu merupakan susulan persetujuan yang dicapai semasa lawatan Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala melalui ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao menjangkau RM33.67 bilion, manakala kemasukan pelancong warganegara Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 ialah seramai 212,691 orang.

Wisma Putra memaklumkan lawatan berkenaan memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan erat antara dua negara berjiran, terutamanya dalam pembangunan bersama di sempadan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut berbincang mengenai jaminan pergerakan lalu lintas yang pantas dan selamat kepada rakyat, iaitu jajaran jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

"Tertangguh… harus kita siapkan kadar segera, ambil sedikit masa sebab sentuh laluan, kawasan tentera yang ada.. kita perlu berunding, yang dalam tempoh dua minggu kita akan selesaikan," katanya.

Perdana Menteri berkata hal-hal lain berkisar kepada usaha menyegerakan pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok di Kelantan yang kini hanya menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand untuk dilaksanakan, selewat-lewatnya tahun depan.

"Untuk kelulusan EIA (Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) dan berikutnya menyegerakan pembinaan Rantau Panjang-Sungai Golok, saya akan maklumkan kemajuan ini kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu mempercepatkan proses ini," katanya.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama daripada segi penguatkuasaan bagi menghalang pemburuan haram, yang dibangkitkan Perdana Menteri Thailand dalam pertemuan berkenaan.

Beliau berkata laporan rundingan segala isu berkaitan hubungan dua hala yang dibincangkan dalam pertemuan itu akan disiapkan dalam tempoh dua minggu dan semua nota itu akan diserahkan kepada pihak Thailand untuk maklum balas mereka.

"Kesemua ini saya nak siap dalam tempoh dua minggu dan kemudian saya nak nota itu diserahkan kepada pihak Thailand untuk mereka respons, Perdana Menteri Thailand juga mengarahkan pihak mereka, kalau tidak ada rundingan ini, bertahun-tahun tak ke mana.

"Jadi, kalau betul kita serius nak bangunkan wilayah ini dan juga nak beri manfaat kepada rakyat di sini supaya dapat ditingkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka, langkah-langkah perlu disegerakan," katanya.

Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Sadao, Wilayah Songkhla dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan Srettha.

Lawatan atas jemputan Srettha itu antara lain bertujuan melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta CIQ Sadao, Thailand.

Anwar yang diiringi beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha sebelum kedua-dua pemimpin melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS