Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Rayuan kes penahanan Khairuddin dibuat cara fizikal demi kepentingan awam’

Dua rayuan berhubung penahanan 62 hari Khairuddin Abu Hassan pada 2015 yang dikaitkan dengan kes 1MDB adalah untuk kepentingan awam, kata Mahkamah Rayuan.

Oleh demikian, sidang tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim M Nantha Balan mengosongkan perbicaraan dalam talian yang ditetapkan hari ini untuk mendengar secara terbuka rayuan kerajaan serta Khairuddin, penyokong tegar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas yang memutuskan kerajaan dan pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap penahanan Khairuddin, berikutan tindakannya membuat beberapa laporan di beberapa negara asing berhubung kes 1MDB.

Rayuan Khairuddin untuk mendapatkan pampasan yang lebih tinggi daripada RM300,000 yang dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi berhubung penahanan tidak sah yang berlaku semasa pentadbiran perdana menteri ketika itu Najib Razak.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah kes rasuah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada permulaan perbicaraan melalui aplikasi Zoom pagi ini, Nantha berkata rayuan ini melibatkan isu kepentingan awam dan lebih baik untuk didengar melalui pendengaran mahkamah terbuka fizikal yang boleh diakses oleh orang ramai.

Nantha berkata perkara ini lebih-lebih lagi kerana antara isu yang terlibat adalah mengenai isu sama ada terdapat pendakwaan berniat jahat terhadap Khairuddin atau tidak.

“Isu yang dibangkitkan adalah kepentingan umum dan saya tidak fikir keadilan akan dilakukan kepada pihak yang berkenaan jika (pendengaran) ini dibuat melalui aplikasi Zoom.

"(Perkara) ini adalah kepentingan awam dan kami berpendapat rayuan ini harus didengar di mahkamah terbuka dan bukannya melalui Zoom," kata Nantha, sambil menambah ini terutamanya kerana ia melibatkan dakwaan perampasan hak Khairuddin.

Selain Nantha, sidang hakim panel rayuan turut dianggotai Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Choo Kah Sing.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin bersetuju dengan cadangan sidang hakim untuk pendengaran secdara fizikal di mahkamah terbuka.

"Kami bersetuju mengenai kepentingan perkara ini kerana ia telah menjadi tumpuan umum sejak 2015, justeru perbicaraan di mahkamah terbuka akan memberi manfaat," kata Haniff.

Wakil undang-undang kerajaan, peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A Dadi, juga bersetuju dengan cadangan panel untuk mendengar rayuan di mahkamah terbuka.

Nantha kemudian mengosongkan perbicaraan dalam talian hari ini dan menetapkan pengurusan kes petang ini untuk menetapkan tarikh perbicaraan baru di mahkamah terbuka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS