Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy tubuh parti baru orang India, diberi nama 'Urimai'

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy hari ini mengumumkan penubuhan parti baru iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) .

Bekas pemimpin DAP itu berkata dia mengambil keputusan tersebut selepas hilang kepercayaan dengan konsep parti politik berbilang kaum.

"Parti politik berbilang kaum yang ada sekarang tidak mewakili kaum India. Sebagai contoh DAP dan PKR adalah berbilang kaum yang memiliki anggota kaum India yang ramai.

"Tapi, apa keadaan ahli India dalam parti-parti ini? Mereka (pemimpin India) tidak boleh bersuara. Perlu mematuhi arahan pucuk pimpinan. Pucuk pimpinan parti lebih fokus kepada kaum masing-masing.

"Jika, ada pemimpin India yang bersuara, maka mereka akan dipinggirkan atau dipecat daripada parti.

"Maka, saya percaya kaum India di Malaysia tidak boleh mengharapkan parti-parti berbilang kaum seperti DAP dan PKR," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Urimai dalam bahasa Tamil bermaksud hak.

Terdahulu, bekas ahli parlimen Batu Kawan itu berkata demikian pada majlis pelancaran 'Urimai' yang bertema 'daya politik masyarakat yang tidak bersuara' dihadiri lebih 400 orang.

Turut hadir, timbalan pengerusi PSM S Arutchelvan, bekas ahli parlimen Padang Serai N Gopalakrishnan, bekas Adun Bagan Dalam Satees Muniandy, bekas Adun Sabai D Kamachee dan Presiden NGO Malaysia Tamilar Kural, David Marshel.

Terdahulu, David yang juga ahli jawatankuasa interim parti itu berkata permohonan telah dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Kita telah membuat permohonan untuk kelulusan. Sehingga mendapatkan kelulusan, parti ini akan bertindak sebagai satu gerakan.

"Kami akan ke seluruh negara untuk berjumpa masyarakat India untuk memberikan kesedaran politik.


BACA BERKAITAN:

MIC gesa siasat insiden larangan lagu tradisi Tamil di acara Bahasa Tamil

'KPM tak pernah halang nyanyian lagu tradisi'


"Parti ini terbuka kepada semua pihak termasuk bukan India. Kita akan berjuang hak semua rakyat negara ini khususnya kaum India," katanya.

Sementara itu, Satees memberitahu kerajaan hari ini supaya tidak mengambil mudah sokongan pengundi kaum India kepada kerajaan pusat.

"Kita ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sering menyentuh 'Thirukkural' (karya tokoh kesusasteraan India Thiruvalluvar) dalam ucapan.

"Tapi, dia tidak mengambil sebarang tindakan atau memberikan arahan apabila gambar 'Thiruvalluvar' tidak dibenarkan dalam karvinal Bahasa Tamil di Kepala Batas, baru-baru ini," dakwanya.

"Lebih kecewa, tidak ada pemimpin dari kalangan PH berani bersuara isu ini.

"Saya nak ungkap Thirukuran kepada kerajaan hari ini bahawa "Idipparai illatha emara mannan kedupparay illathu kedum" yang membawa maksud "kerajaan yang tidak ada pihak untuk dikritik atau ditegur akan membinasakan sendiri negara walaupun tidak ada musuh yang merosakkannya".

"Ini yang berlaku dalam kerajaan hari ini," dakwanya lagi.

Urimai sedia kerjasama sesiapa saja

Sementara itu, Ramasamy berkata parti baru itu tidak semestinya bertindak sebagai 'kuasa ketiga'.

"Kita sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan tuntutan kita khususnya untuk kaum India dipersetujui.

"Hasrat dan matlamat parti ini satu sahaja, menjaga hak rakyat Malaysia khususnya masyarakat India yang dipinggirkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS