Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengusiran di Kg Labuan ditangguh 3 bulan lagi lepas campur tangan MP

Proses pengusiran di Kampung Gersik, Labuan yang bermula pada 23 Nov ditangguhkan dan penduduk kampung diberi tempoh sehingga 28 Feb tahun depan untuk mencari kediaman baru.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini selepas bertemu penduduk kampung yang telah menerima notis daripada Majlis Ugama Islam Sabah (Muis).

“Saya jumpa dengan penduduk kampung dan saya beritahu mereka telah berjaya meyakinkan Muis untuk memberi mereka sehingga akhir Februari tahun depan,” kata Suhaili yang memberitahu tidak pernah dijemput menghadiri sebarang perjumpaan antara Muis dan penduduk kampung sehingga kini.

Dalam notis bertarikh 22 Mei yang dilihat Malaysiakini, penduduk di Kampung Gersik yang menduduki tanah seluas 14 hektar diberitahu tanah yang mereka duduki didaftarkan atas nama Muis dan mereka mesti mengosongkan kawasan itu dalam tempoh enam bulan.

Suhaili berkata, penduduk mempunyai masa enam bulan untuk berpindah, namun tidak menemui rumah lain dalam tempoh itu.

Situasi menang-menang

Dia turut mempertikaikan angka yang didakwa oleh penduduk iaitu kira-kira 3,000 orang mendiami kawasan berkenaan.

Menurut Suhaili dia berpendapat ramai yang tinggal di kawasan itu bukan warganegara Malaysia yang sah tetapi memasuki negara ini melalui pas lawatan sosial IMM13.

Pas IMM13 adalah untuk pelarian Filipina yang memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan antarabangsa yang sah dari penghujung 1972 hingga sekitar 1984.

"Memandangkan orang kampung mendakwa sebagai warganegara Malaysia, saya telah meminta mereka untuk mengemukakan bukti. Selagi mereka benar-benar rakyat Malaysia, saya boleh beritahu anda bahawa mereka tidak akan diusir tanpa kediaman ganti.

"Walaupun mereka bukan rakyat Malaysia, kita tidak akan membiarkan mereka tanpa perlindungan. Ini adalah isu pendudukan haram di tanah Muis yang sudah lama berlarutan," kata Suhalii.

Dia juga berkata hanya sebahagian kecil rumah yang dirobohkan dalam tindakan pengusiran yang dilakukan pada Khamis lalu.

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk kampung Omar Abbang berkata, penduduk kampung bersyukur kerana Suhaili campur tangan dan berharap penyelesaian dapat dicapai dengan situasi 'menang'-menang' membabitkan semua pihak termasuk Muis dan Lembaga Pelabuhan Labuan.

Dia mengulangi dakwaannya bahawa sebahagian besar penduduk adalah rakyat Malaysia walaupun ada yang berasal dari Indonesia atau Filipina.

Dia juga menghantar gambar yang menunjukkan beberapa penduduk mengemukakan dokumen mereka sambil bergambar dengan Suhaili.

"Ramai yang masih tinggal di sini kerana rumah mereka masih utuh. Bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam tindakan pengusiran, mereka terpaksa tinggal bersama saudara-mara," kata Omar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS