Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM maklum keputusan tinjauan, tapi perlu 'ambil kira 32 juta rakyat'
Diterbitkan:  Nov 24, 2023 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia mengambil maklum berkenaan dapatan tinjauan Merdeka Center berhubung kadar sokongan terhadapnya yang merosot ekoran kebimbangan ekonomi.

Bagaimanapun Anwar berkata dia perlu melibatkan pandangan khalayak lebih besar berbanding yang terlibat dalam tinjauan tersebut.

"Tinjauan (melibatkan) 1,200 orang dan kita mendengar pandangan mereka, tetapi kita perlu libatkan (engage) 32 juta rakyat," katanya lagi merujuk kepada jumlah populasi negara.

Menurut Merdeka Center, hanya separuh daripada responden tinjauan yang dijalankan bulan lalu yang berpuas hati dengan prestasi Anwar, berbanding 43 peratus yang tidak.

Ini merupakan kadar sokongan terendah terhadap Anwar daripada tujuh tinjauan yang dijalankan badan itu sejak dia menjadi perdana menteri pada November tahun lalu.

Tinjauan itu dijalan pada 4 hingga 24 Oktober lalu, melibatkan 1,220 pengundi diseluruh negara menerusi panggilan telefon.

Untuk konteks, Anwar membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, di saat tinjauan sedang berjalan.


Baca: PMX selepas setahun


Responden dipilih menerusi persampelan rawak berstrata bagi memastikan ia mewakili setiap kawasan Parlimen, bermakna ia mencerminkan populasi di Malaysia.

Margin kesilapan untuk tinjauan itu dianggarkan ±2.81 peratus.

Tinjauan turut mendapati 48 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan, berbanding 41 peratus yang berpuas hati.

Sementara itu, 60 peratus responden berkata mereka merasakan Malaysia di hala tuju yang salah, berbanding 31 peratus yang berpandangan sebaliknya.

Dalam kalangan 60 peratus responden itu, lebih separuh (56 peratus) menyatakan faktor ekonomi atas pandangan mereka.

Ia termasuklah keadaan ekonomi yang tidak baik secara umum (28.3 peratus), kos sara hidup tinggi (22.4 peratus), ringgit yang melemah (1.8 peratus) dan gaji minimum (1.5 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS