Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC gesa siasat insiden larangan lagu tradisi Tamil di acara Bahasa Tamil 
Diterbitkan:  Nov 24, 2023 2:18 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

MIC menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan siasatan dibuat berhubung tindakan menghalang “Kadavul Valthu” dan “Tamil Valthu” dipersembahkan dalam Majlis Perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran kementerian itu.

Timbalan presidennya M Saravanan juga meminta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengeluarkan arahan agar kedua-dua lagu itu dibenarkan untuk dinyanyikan di majlis-majlis Karnival Bahasa Tamil pada masa akan datang.

Dia berkata larangan itu telah "mencacatkan" karnival tersebut yang diadakan sebuah hotel di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Nyanyian salam lagu Tamil (Tamil Valthu) semata-mata menggambarkan keindahan gaya bahasa Tamil yang memiliki nilai estetik.

"Sehubungan ini, saya memohon kepada Yang Berhormat (Fadhlina) supaya mengizinkan nyanyian "Tamil Vaalthu" dinyanyikan di majlis-majlis Karnival Bahasa Tamil serta mengarahkan siasatan terhadap pegawai KPM yang bertindak melulu, " katanya yang juga ahli parlimen Tapah dalam kenyataan hari ini.

Larangan itu dibangkitkan Exco Pulau Pinang Sundarajoo Somu dan Adun Bagan Dalam Kumaran Krishnan hari ini, yang menggesa Fadhlina dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan terhadap perkara itu.

Sundarajoo Somu

Kata mereka, "Kadavul Valthu" dan "Tamil Valthu" adalah amalan turun temurun dalam mana-mana acara melibatkan bahasa atau budaya Masyarakat India.

"Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, kaum dan agama. Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap satu kaum untuk mengamalkan bahasa, budaya dan kepercayaan masing-masing secara aman dan damai.

"Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini dari segelintir individu hanya mengundang perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan rakyat.

"Kami memohon campur tangan perdana menteri dan menteri pendidikan supaya tindakan yang sewajarnya diambil dalam kadar segera bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang pada masa akan datang," kata mereka.

“Kadavul Valthu” adalah lagu ketuhanan manakala “Tamil Valthu” pula ialah lagu berkaitan bahasa Tamil.

Sundarajoo dan Kumaran juga mendakwa sepanduk yang memaparkan gambar tokoh kesusasteraan dan falsafah Tamil, Thiruvalluvar dihalang daripada digunakan.

"Apakah justifikasi disebalik halangan ini? Kami cukup hairan bagaimana isu-isu seperti ini boleh berlaku dalam sebuah karnival peringkat kebangsaan yang dianjurkan KPM untuk meraikan Bahasa Tamil?" soal mereka.

Sementara itu, mereka mendedahkan bahawa Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang telah menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk memohon siasatan terperinci dilakukan.

Sundarajoo merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang, sementara Kumaran adalah timbalan pengerusi.

'Kekhilafan penganjur'

Sementara itu, pegawai khas menteri pendidikan Thiyagaraj Sankaranarayanan berkata insiden itu berlaku disebabkan kekhilafan penganjur dan ia bukan dasar KPM.

"Tindakan sebegini tidak menampilkan nilai Malaysia Madani yang didukung oleh perdana menteri yang sering menggunakan rangkap “Thirukural” bagi menjadikan sebagai pedoman pentadbiran serta pengurusan yang baik.

"Menteri pendidikan melihat perkara ini sangat serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya setelah menilai laporan insiden yang lengkap," katanya, sambil meminta semua pihak untuk memberi ruang untuk siasatan dibuat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS