Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin umum tak pertahan jawatan presiden Bersatu
Diterbitkan:  Nov 24, 2023 11:29 AM
Dikemaskini: 8:29 AM

Muhyiddin Yassin pagi ini mengejutkan seluruh perwakilan dan pemerhati Bersatu apabila mengumumkan dia tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan parti akan datang.

Kata ahli parlimen Pagoh itu, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir untuk dia berada di pentas utama sebagai presiden.

Menurut presiden Bersatu itu, keputusan tersebut diambilnya bagi memberi peluang barisan kepimpinan baru mengambil alih parti tersebut.

"Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.

"Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan," katanya.

Tambah Muhyiddin tarikh pemilihan tersebut akan ditentukan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi perwakilan yang meminta Muhyiddin menarik balik keputusannya tersebut.

Katanya keputusan tersebut dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis mengambil alih kepimpinan parti melalui proses demokrasi.

Muhyiddin menambah dalam proses itu dia menasihatkan pemimpin terbabit mengamalkan musyawarah terlebih dulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas mempunyai tempat dan peranan dalam parti.

"Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan," katanya.

Justeru, tambah Muhyiddin, dia mengambil kesempatan pagi ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti.

"Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik," katanya.

Tetap pegang apa diumum

Dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin menjelaskan, walaupun tidak lagi menjadi presiden selepas ini dia akan kekal menjadi ahli Bersatu.

"Sekarang ini, keputusan parti ialah menangguhkan (pemilihan) selama 18 bulan.

"Pemilihan jawatan tertinggi ini diadakan di peringkat bahagian bukan di peringkat perhimpunan agung, bermakna apabila selesai, semua jawatan-jawatan utama di MPT ini akan terpilih.

"Bermakna saya tidak lagi akan hadir dalam PAT ini sebagai presiden dalam perhimpunan akan datang," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan walaupun dia menghargai jika ada sebarang usul daripada perwakilan untuk mengekalkannya sebagai presiden, namun dia yakin peluang itu perlu diberikan kepada pemimpin seterusnya.

Katanya keberadaan Bersatu juga tidak harus bergantung kepada seseorang seperti dia.

"Kalau ada usul atau cadangan, saya ucap terima kasih, tapi apa saya umumkan saya akan pegang," katanya.

Tambahnya, dia yakin pemimpin lain akan dapat menjalankan amanah sebagai presiden baru jika diberi peluang.

"Bersatu ada ramai tokoh pemimpin yang berkaliber, mungkin karakter tak sama, nama pun berbeza, usia berlainan, tapi kalau diberi peluang, saya yakin mereka boleh.

“Saya bukannya resign (letak jawatan) namun tidak menawarkan diri bertanding sebagai presiden pada pemilihan parti akan datang.

“Terima kasih kepada semua dan ini terakhir saya menghadiri perhimpunan agung sebagai presiden,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata sayap itu akan mengusulkan supaya Muhyiddin kekal menerajui Bersatu pada pemilihan seterusnya.

“Sudah tentu saya akan menyentuhnya pada penggulungan esok," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS