Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Komuniti antarabangsa perlu bersama pastikan bantuan ke Gaza'

PARLIMEN | Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin menyambut baik persetujuan gencatan senjata empat hari untuk pertukaran tebusan dan tahanan antara Israel dan Hamas.

Ketua kaukus Syed Ibrahim Syed Noh yang juga ahli Parlimen Ledang berkata, ia adalah satu langkah kecil ke arah matlamat akhir iaitu gencatan senjata secara keseluruhan.

“Persetujuan jeda kemanusiaan (humanitarian pause) itu telah diusahakan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat. Pengumuman semalam ini menunjukkan adanya perkembangan ke arah genjatan senjata, paling tidak pun gencatan sementara.

"Namun, selera Israel yang tidak pernah susut pada nyawa anak kecil, wanita dan orang tua besar kemungkinan menjadi halangan untuk kediaman tercapai.

"Komuniti kemanusiaan antarabangsa perlu segera menggembleng tenaga untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terdesak," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Al Jazeera, pertubuhan Hamas yang menguasai Gaza dan Israel semalam bersetuju untuk gencatan senjata selama empat hari selepas pertempuran selama kira-kira enam minggu.

Sepanjang tempoh empat hari itu, Israel akan menghentikan serangan di Gaza manakala Hamas akan membebaskan sekurang-kurangnya 50 daripada lebih 200 tebusan yang ditahannya.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata gencatan itu juga membuktikan kuasa masyarakat dunia mampu menghentikan kekejaman Israel.

Selain itu ia juga menandakan Israel sedar akan kelemahan mereka yang masih gagal menguasai Gaza meskipun memiliki kekuatan senjata dalam pertempuran lebih enam minggu, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS