Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan: Sekolah Cina, Tamil sah di sisi undang-undang

Sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus beroperasi secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Sidang tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Supang Lian pagi ini sebulat suara menolak rayuan yang difailkan oleh Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan tiga lagi NGO.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disiember 2021 menolak saman kumpulan berkenaan yang mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Tiga lagi perayu keputusan itu ialah Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Gambar hiasan.

Semasa membacakan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Azizul Azmin Adnan menegaskan para penggubal Perlembagaan Persekutuan telah berhasrat sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular sebelum Merdeka akan terus beroperasi dengan sah di sisi undang-undang selepas merdeka pada 1957.

Azizul berkata ini tercermin dalam Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan dan melindungi penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

Peruntukan Perkara 152 (1) itu menyatakan bahawa:

"(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa

"(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

"(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan."

Hakim Azizul berkata tiada apa-apa dalam Perkara 152 yang harus dibaca untuk mengehadkan penggunaan bahasa seperti Tamil dan Mandarin sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

“Jika diterima penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang wujud sebelum Merdeka, maka kerajaan memelihara dan mengekalkan penggunaan tersebut.

“Tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal Perlembagaan berhasrat sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu adalah menyalahi undang-undang.

"Jika tidak, sekolah seperti itu akan dimansuhkan dengan penubuhan Perlembagaan Persekutuan (yang menjadi undang-undang tertinggi Malaysia selepas Merdeka pada 1957)," kata Azizul bagi pihak Hakim Supang dan rakannya Hakim M Gunalan.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 telah menolak saman yang difailkan oleh Mappim dan beberapa NGO mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Ketiga-tiga plaintif yang telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan itu kemudian telah mengemukan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang membawa kepada keputusan pada hari ini.

Antara defendan ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS